KUALA LUMPUR — Naskhah teater muzikal Mansur & Liu bukan karya yang terhasil dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui perjalanan panjang sejak idea asalnya dibangunkan pada tahun 2018.
Penulis skrip Mansur & Liu, Azrie Izham Hamzah, yang juga Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA, berkata reaksi penonton sepanjang pementasan itu berlangsung menjadi antara pengalaman paling bermakna buat dirinya sebagai seorang penulis.
Menurutnya, perasaan teruja, kagum dan tersentuh yang dibawa penonton ketika melangkah keluar dari panggung memberi gambaran bahawa kisah yang dibina di atas kertas akhirnya berjaya menemukan tempatnya di hati penonton.
Lebih menyentuh hati katanya, apabila ada yang menganggap naskhah berkenaan bukan sekadar sebuah persembahan di pentas, sebaliknya turut mengingatkan kepada sebahagian daripada sejarah hidup mereka.
“Maklum balas pelbagai, bercampur-baur. Tetapi sesuatu yang menjadikan saya sebagai penulis berasa berbesar hati dan terharu apabila mereka yang pertama kali menonton merasakan ini adalah salah satu daripada sejarah hidup mereka.
“Mereka keluar dengan rasa teruja, rasa kagum dan rasa spektakular itu. Sebagai penulis dan orang yang menawarkan cerita ini, kita rasa ia sampai kepada sesetengah audiens,” katanya ketika ditemui wartawan Suara TV, Jannah Jalidar.
Azrie izham Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya turut menerima beberapa kritikan kecil daripada penonton yang boleh dijadikan panduan untuk penambahbaikan karya pada masa akan datang.
Mengimbas kembali perjalanan naskhah itu, Azrie berkata beliau pada awalnya terlibat sebagai penyelidik selepas dipanggil oleh pemilik idea asal, Allahyarham Zakaria Ariffin, pada tahun 2018.
Katanya, ketika itu beberapa bengkel telah dijalankan dan beberapa draf treatment turut dihasilkan, namun projek berkenaan terhenti atas beberapa kekangan.
“Pada 2025, apabila kami semak semula, semua dokumen itu masih ada. Saya memang simpan. Dari situ kita gerakkan kembali dan saya panggil beberapa orang dalam pasukan yang berpengalaman.
“Antaranya Puan Roziah Adama, pensyarah di ASWARA, Encik Roydy Rokidy, pensyarah dan penulis serta Azielahaneem Idris. Saya sebagai head writer, kita agihkan peranan masing-masing,” jelasnya.
Menurut Azrie, tajuk Mansur & Liu tidak pernah berubah sejak peringkat awal pembangunan naskhah, manakala beberapa elemen cerita terutama supporting plot dikembangkan semula ketika proses penulisan diteruskan pada 2025.
Beliau berkata, penulisan secara rasmi bermula pada 18 September 2025 dan mengambil masa kira-kira 11 bulan sebelum naskhah tersebut dipentaskan.
“Sekurang-kurangnya ada tujuh hingga lapan draf skrip,” katanya.
Dalam pada itu, Azrie menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Dato’ M. Nasir sebagai pengarah merupakan satu peluang besar untuk pasukan penulis mempelajari selok-belok menghasilkan skrip teater muzikal.
Katanya, ketika peringkat awal, pasukan penulis masih belum mengetahui siapa yang bakal mengarahkan karya tersebut.
“Dato’ M. Nasir pada awalnya kata bukan dia yang akan mengarahkannya. Katanya, ‘tengoklah nanti.’
“Tetapi akhirnya apabila kita tahu Dato’ M.Nasir adalah orang yang akan mengarahkannya, kira-kira lima bulan sebelum persembahan, ia bukan satu cabaran tetapi datang bersama jangkaan bahawa Dato’ M. Nasir akan mengarahkan skrip ini,” katanya.
Azrie menyifatkan peluang menghasilkan skrip teater muzikal yang diarahkan M. Nasir sebagai pengalaman yang amat berharga buat pasukan penulis.
“Peluang untuk kami belajar adalah bagaimana untuk menghasilkan skrip teater muzikal yang diarahkan oleh M. Nasir. Itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa yang lain di dunia ini,” katanya.
Mengenai perancangan selepas Mansur & Liu, Azrie berkata beliau secara peribadi mempunyai beberapa perancangan untuk menghasilkan karya baharu, namun belum bersedia untuk mendedahkan secara terperinci.
Teater muzikal Mansur & Liu dipentaskan selama 11 hari di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), bermula 10 September lalu dan melabuhkan tirainya malam tadi.
Pementasan sulung arahan Dato’ M. Nasir itu mengetengahkan kisah Sultan Melaka keenam, Sultan Mansur Shah, bersama Puteri Liu dari Dinasti Ming, yang diangkat daripada karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Pementasan berkenaan turut mencatatkan antara karya berskala besar terawal dipersembahkan di IB selepas panggung seni utama negara itu selesai menjalani kerja-kerja pembaikan serta naik taraf.
Menampilkan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dan bakat baharu, Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, naskhah itu turut menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Diterbitkan Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, teater muzikal tersebut menampilkan 30 buah lagu selain skor muzik asli yang digubah oleh M. Nasir.



