KLUANG – Perikatan Nasional (PN) melihat tiada keperluan untuk menggubal draf persefahaman MoU berhubung peruntukan ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembangkang tidak mahu kerajaan menjadikan MoU menjadi peraturan pada masa depan.
“Kami tidak mahu ia menjadi satu peraturan pada masa hadapan, di mana pemberian peruntukan yang akan diberikan oleh kerajaan kepada pembangkang memerlukan satu perjanjian.
“Ia menggambarkan kerajaan tidak mengiktiraf pilihan rakyat sehingga memerlukan kepada suatu perjanjian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, langkah seperti ini bukanlah cara menambah baik sistem demokrasi di negara ini, malahan ia amat jelas merupakan suatu langkah mundur ke belakang.
“Sepatutnya, walau tanpa perjanjian, peruntukan kepada semua wakil rakyat perlu disalurkan kerana menghormati peruntukan perlembagaan, undang-undang negara dan peraturan Dewan Rakyat (standing order) yang semua Ahli Parlimen bersumpah akan menjunjung dan mempertahankannya.
“Adalah suatu yang mengaibkan Kerajaan Pusat apabila negeri-negeri terutamanya negeri yang diperintah oleh PAS boleh mengagihkan peruntukan tanpa sebarang perjanjian kepada semua wakil rakyat dengan tidak mengambil kira parti kerajaan atau pembangkang.
“Parlimen dan kerajaan pusat sepatutnya menjadi model untuk dicontohi di peringkat negeri, bukan sebaliknya,” bidas Tuan Ibrahim.
Justeru, beliau mewakili PN mendesak kerajaan menunaikan janjinya yang telah dijadikan manifesto bagi Pakatan Harapan (PH) atau ianya akan mengesahkan kerajaan hari ini adalah kerajaan pembohong.
Selain Pas, semalam Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan tetap tidak berganjak daripada keputusan menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang meskipun kerajaan menawarkan cadangan untuk PN mengemukakan cadangan baharu.
Muhyiddin tegas menyatakan keputusan pembangkang jelas menolak draf MoU yang dikemuka Kerajaan Perpaduan kerana dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hal ini tegas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat justeru tidak ada keperluan mengemukakan sebarang MoU sedangkan peruntukan wajar disalurkan kepada semua ahli Parlimen.