KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli berkata gabungan 12 parti politik yang diumum Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini pernah menyerang sesama sendiri sebelum bersetuju untuk saling menunggang sekarang.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu mempersoalkan adakah mereka akan berjaya menggembleng sokongan rakyat untuk menang dalam PRU16?
“Sukar untuk kita tentukan sekarang, terutamanya sebab sebahagian besar parti-parti yang bergabung itu, kecuali Pas, Bersatu dan Gerakan, tidak pernah bertapak di peringkat nasional.
“Ia juga bergantung kepada prestasi Kerajaan Madani dan populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Jika beliau tidak berjaya menguruskan pelbagai kontroversi yang timbul saban hari dan tidak ada perubahan ketara dari pentadbiran beliau, jumlah pengundi yang mahu bertukar akan melebihi jumlah yang mahu mengekalkan kerajaan, maka kerajaan boleh bertukar tidak kira kecil mana pun parti-parti yang bergabung.
“Ujian sebenar kepada gabungan ini bukanlah untuk bersatu melawan Anwar Ibrahim. Ujian sebenar ialah jika mereka menang PRU16 dan membentuk kerajaan,” kata Rafizi.
Selain itu beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, mereka perlu bersetuju dengan calon Perdana Menteri dan menteri-menteri. Juga untuk membahagikan jawatan dan lantikan penting sesama mereka.
Kerana katanya, disebalik kesatuan yang ada sekarang, tidak banyak persamaan ideologi yang menyatukan perjuangan mereka.
“Mereka juga pernah menyerang sesama sendiri sebelum bersetuju untuk saling menunggang sekarang. Contoh yang baik ialah drama politik di antara Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan Pas. Mereka berkawan, kemudian berlawan sehingga Tun Mahathir menubuhkan parti sendiri, kemudian berlawan lagi sebelum berkawan balik.
“Muhyiddin pernah panggil Pas sebagai parti ajaran sesat. Pas pernah memaki Tun Mahathir kerana dituduh menzalimi rakyat Kelantan.
“Malah, Pas pernah menjadikan Waytha Moorthy sebagai musuh utama menyalakan api perkauman semasa bantahan terhadap ICERD, tetapi kini Takiyuddin berada di sebelah Waytha Moorty kerana saling menunggang untuk melawan Anwar,” bidasnya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, kerajaan yang datang dari gabungan parti-parti yang tidak sehaluan akhirnya tidak berjaya membangunkan dasar baru untuk membantu rakyat kerana setiap cadangan dibantah parti yang lain.
“Akhirnya, kerajaan itu meneruskan “business as usual”, asalkan pemimpin parti-parti dalam gabungan dapat habuan masing-masing.
“Begitulah resam politik di Malaysia kebelakangan ini dan saya bercakap dari pengalaman sendiri,” ujar Rafizi.
Beliau berkata demikian mengulas langkah Presiden Bersatu umum PN bergabung dengan 12 parti politik lain yang diluar kerajaan untuk membentuk satu platform bersama.
“Perkara ini biasa berlaku. Semasa pembangkang pun, Pakatan Harapan (PH)cuba untuk membina gabungan yang besar dan menyatukan semua pihak.
“Ia respons biasa dalam sepak terajang politik, yang selalunya digunakan oleh pembangkang,” kata Rafizi.



