Bagi rakyat Malaysia, percutian kini bukan lagi sekadar peluang untuk berehat atau berseronok semata-mata. Ramai yang mula mencari pengalaman yang lebih bernilai percutian yang memberi ilmu, kesedaran, serta peluang menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar. Di sinilah Taman Safari Indonesia (TSI) muncul sebagai destinasi yang tepat.
Dengan rangkaian taman safari di Bogor, Prigen (Jawa Timur), dan Bali, TSI telah menjelma menjadi ikon edu-tourism rantau ini. Ia bukan sahaja sebuah tempat rekreasi keluarga, malah sebuah pusat pemuliharaan, pendidikan, dan penyelidikan yang memainkan peranan penting dalam usaha melindungi spesies terancam. Apa yang lebih menarik, rakyat Malaysia kini semakin ramai menjadikan TSI sebagai destinasi pilihan, kerana ia bukan sahaja dekat dan mudah diakses, tetapi juga menawarkan pengalaman percutian yang sarat dengan pengisian ilmu.
Selain pengisian ilmu, tarikan utama TSI terletak pada lokasi semula jadinya yang memukau. Taman Safari Bogor, misalnya, dibina di lereng Gunung Gede Pangrango pada ketinggian hampir 900 meter dari paras laut. Dengan suhu sejuk sekitar 16–24 darjah Celsius, ia memberi suasana nyaman yang amat berbeza daripada hiruk-pikuk Jakarta. Dari tingkap kenderaan safari, pengunjung bukan sahaja disapa oleh zirafah dan zebra, tetapi juga panorama kabus pagi yang menyelubungi hutan tropika.
Di Jawa Timur pula, Safari Prigen adalah yang terbesar di Asia Tenggara, terletak di lereng Gunung Arjuna. Pemandangannya luas terbentang dengan latar gunung yang megah benar-benar membuatkan lawatan terasa seperti ekspedisi Afrika sebenar.
Bagi mereka yang mahu suasana lebih tropika, Bali Safari & Marine Park menawarkan kombinasi landskap Bali yang hijau dengan seni bina tradisional pulau itu, menjadikan setiap sudutnya fotogenik untuk rakaman kenangan.

Alexander Zulkarnain, Ketua Pegawai Pemasaran ACT, Taman Safari Indonesia Group, menyifatkan keindahan ini sebagai aset semula jadi TSI:
“Kami bernasib baik kerana taman-taman safari kami terletak di lokasi istimewa di lereng gunung, berhampiran hutan, dan dalam suasana tropika yang kaya biodiversiti. Ia bukan sahaja memberi habitat yang lebih sesuai untuk haiwan, tetapi juga pengalaman yang lebih autentik untuk pengunjung.”
Sejak tahun 1981, TSI memikul tanggungjawab besar dalam melindungi haiwan-haiwan yang kian pupus. Program pembiakan orang utan, naga Komodo, dan burung jalak Bali hanyalah sebahagian kecil daripada ratusan usaha pemuliharaan yang dijalankan.
Orang utan misalnya, yang kini diiktiraf sebagai spesies sangat terancam, dijaga rapi dalam program khas dengan kerjasama antarabangsa. Begitu juga naga Komodo, reptilia purba yang hanya boleh ditemui di Indonesia, turut mendapat perhatian serius melalui program pembiakan terkawal. Burung jalak Bali pula menjadi simbol kebanggaan kerana TSI berjaya meningkatkan populasi spesies ini, daripada hanya beberapa ekor kepada ratusan yang kini kembali ke habitat asal.

Alexander menegaskan:
“Kami bukan sekadar sebuah syarikat yang mencari keuntungan. Majoriti hasil operasi kami digunakan untuk menyokong usaha konservasi jangka panjang. Setiap tiket yang dibeli pengunjung sebenarnya adalah sumbangan terus kepada pemeliharaan alam.”
Apa yang membezakan TSI daripada taman hiburan lain ialah pendekatan mereka dalam menjadikan setiap lawatan sebuah kelas terbuka.
TSI tidak pernah mementaskan persembahan haiwan sekadar untuk hiburan. Alexander menegaskan:
“Kami tidak melakukan pertunjukan haiwan. Sebaliknya, yang ada ialah persembahan pendidikan. Kami menggunakan kaedah positive reinforcement setiap kali haiwan melakukan sesuatu, mereka diberi ganjaran. Tujuannya adalah mendidik, bukan menghibur.”
Pengunjung diajak memahami mengapa haiwan perlu dilindungi, mengapa habitat semula jadi mesti dipelihara, dan bagaimana manusia boleh memainkan peranan dalam usaha ini. Ia adalah pengalaman interaktif yang meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang dibesarkan dalam era digital.
Usaha TSI melangkaui sempadan Indonesia. Mereka membina rangkaian kerjasama dengan institusi antarabangsa di Jepun, Afrika, Eropah, Amerika, dan Australia. Antara projek penting ialah program pemuliharaan orang utan bersama zoo di Jepun, selain kolaborasi dengan pusat kajian mamalia besar di Afrika.
Lebih istimewa, ada juga kerjasama rapat dengan Aquaria di Malaysia. Melalui program pertukaran pengalaman serta kepakaran marin, TSI khususnya Bali Marine Safari Park berkongsi pengetahuan dalam penjagaan hidupan laut, pendidikan, serta teknik konservasi akuarium moden. Hubungan erat ini menjadikan lawatan ke Marine Safari bukan sekadar pengalaman menonton hidupan laut eksotik, tetapi juga peluang untuk melihat bagaimana dua negara serumpun bekerjasama dalam memelihara ekosistem marin untuk generasi akan datang.
“Ini bukan soal negara mana yang lebih dahulu, tetapi soal kerjasama bersama-sama menyelamatkan spesies yang kita kongsi di planet ini,” kata Alexander.
Komitmen Taman Safari Indonesia dalam bidang pemuliharaan tidak hanya berhenti di dalam negara, malah mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada pelbagai organisasi antarabangsa.
TSI adalah sebahagian daripada WAZA (World Association of Zoos and Aquariums), organisasi payung yang menyatukan lebih 300 zoo dan akuarium terkemuka dari seluruh dunia. Keahlian ini menjadi bukti bahawa TSI bergerak seiring dengan piawaian global dalam pemeliharaan haiwan.
Selain itu, TSI turut aktif dalam SEAZA (Southeast Asian Zoo Association), satu-satunya badan serantau yang mewakili kira-kira 90 zoo dan pusat konservasi di Asia Tenggara. Melalui platform ini, TSI berkongsi kepakaran serta bekerjasama dengan rakan-rakan serantau untuk memastikan kelestarian biodiversiti tropika.
TSI juga bekerjasama rapat dengan CPSG (Conservation Planning Specialist Group) – sebuah rangkaian profesional konservasi antarabangsa yang memberi tumpuan kepada strategi penyelamatan spesies terancam.
Di peringkat nasional pula, TSI adalah ahli PKBSI (Perhimpunan Kebun Binatang Se-Indonesia), iaitu organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menyelaras zoo dan taman zoologi di Indonesia. Keahlian ini menguatkan lagi peranan TSI sebagai pusat pemuliharaan utama negara.
Dengan rangkaian sokongan ini, jelas bahawa setiap lawatan ke TSI bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada pengunjung, tetapi juga menyumbang kepada agenda pemuliharaan yang diiktiraf di peringkat dunia.
Walaupun misi utamanya adalah pemuliharaan, TSI memahami bahawa hiburan adalah pintu masuk terbaik untuk menyampaikan mesej. Justeru, pengalaman rekreasi yang ditawarkan disusun agar mesra keluarga, mendidik, dan dalam masa yang sama menghiburkan.
Di Bogor, pengunjung boleh merasai debaran Night Safari pengalaman menjelajah hutan pada waktu malam untuk melihat haiwan yang aktif selepas gelap. Di Bali pula, Marine Safari Park mempersembahkan “Varuna” teater bawah laut yang menggabungkan teknologi moden dengan mesej kelestarian laut. Sementara di Prigen, resort Baobab memberi peluang unik untuk bersarapan bersama zirafah, satu pengalaman yang amat digemari pelancong, termasuk dari Malaysia.
Alexander tersenyum ketika menyebut:
“Tetamu Malaysia sangat suka dengan pengalaman sarapan bersama zirafah. Ia unik, penuh nilai Instagram, tetapi dalam masa yang sama mendekatkan mereka dengan alam.”
Kelebihan TSI bagi rakyat Malaysia jelas jarak yang dekat dan mudah diakses melalui penerbangan terus ke Jakarta, Surabaya atau Bali. Faktor bahasa dan makanan halal menjadikan perjalanan lebih mesra dan selesa.
Dari segi kos, tiket masuk sekitar RM500 hingga RM700 seorang, manakala pakej dengan penginapan resort boleh mencecah sekitar RM1,000 termasuk sarapan, safari siang dan malam, serta aktiviti tambahan. Harga ini dianggap berbaloi, apatah lagi kerana ia turut menyokong pemuliharaan haiwan.

Pelancong Malaysia juga memainkan peranan besar dalam mempromosikan TSI di media sosial. Alexander mengakui:
“Kami sangat bersyukur dengan keaktifan pelancong Malaysia. Mereka banyak menghasilkan kandungan di Instagram dan TikTok. Konten ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk datang, dan tanpa sedar, mereka juga menyebarkan mesej konservasi.”
Tidak hairanlah jika pengunjung Malaysia kini menjadi antara kumpulan pelawat paling konsisten di Taman Safari Indonesia.
Taman Safari Indonesia bukanlah sekadar destinasi percutian, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang menggabungkan hiburan, pendidikan, penyelidikan, dan pemuliharaan. Ditambah pula dengan keindahan semula jadi di lereng gunung, udara segar tropika, serta lanskap mempesona, ia adalah destinasi yang benar-benar menenangkan minda sambil membuka mata tentang pentingnya melindungi alam.
Alexander menutup perbualan dengan penuh harapan:
“Kami dengan sukacitanya menjemput pelancong Malaysia untuk meneroka taman kami, mengenali biodiversiti Indonesia, dan bersama-sama kami dalam misi melindungi hidupan liar untuk generasi akan datang.”



