KUALA LUMPUR – Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin menitiskan air mata selepas mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Sebaik sahaja mahkamah menangguhkan prosiding seketika, Ismanira Abdul Manaf dilihat keluar dari kandang saksi sebelum memeluk ahli keluarganya sambil menangis.
Sebelum itu Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira.
Selain itu, hakim berkata, suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pendakwaan terhadapnya.
“Setelah mendengar dan meneliti saksi pendakwaan secara penilaian maksimum dan eksibit yang dikemukakan, bagi tertuduh pertama, mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan niat bersama.
“Jadi, tertuduh pertama, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
“Bagi tertuduh kedua, Ismanira mahkamah berjaya membuktikan kes prima facie maka dipanggil membela diri tertuduh kedua, Ismanira, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya dan dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lapor Harian Metro pada Isnin.
Ismanira, yang memberi keterangan bela diri hari ini, memilih untuk memberi keterangan itu secara bersumpah dari kandang saksi.
Ibu bapa kanak-kanak autisme terbabit masing-masing berusia 30 tahun diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Terdahulu, prosiding ditangguhkan sejam bagi memberi laluan kepada pihak pendakwaan meneliti dokumen hujahan tambahan yang difailkan peguam tertuduh hari ini.



