Puteri Sarah syukur keluarga mentua negatif Covid-19

- Advertisement -

Hulu Klang: Pelakon Puteri Sarah, 36, bersyukur apabila suaminya yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof serta ahli keluarga lain disahkan negatif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan di kediaman mereka di Taman Melawati, di sini, semalam.

Selain Syamsul, mereka lain terdiri daripada dua anak mereka, Syaikhul Islam dan Sumayyah, ibu bapa mentua iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail, adik iparnya yang juga pengarah, Syafiq Yusof bersama isteri serta dua pembantu rumah.

Puteri Sarah, 36, yang disahkan positif virus itu kelmarin berkata, kesemua mereka dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari sebelum ujian saringan kedua dibuat.

“Semalam satu rumah kena buat ujian saringan termasuk anak saya. Walaupun tidak ada bersama mereka, tapi saya dimaklumkan semuanya negatif. Sekarang, mereka perlu menjalani kuarantin sendiri selama 10 hari, selepas itu barulah ujian saringan kedua dibuat.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menghubungi saya untuk pergi ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan gelang merah jambu. Dalam masa sama, saya dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah kerana tidak mengalami masalah kesihatan kritikal,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Puteri Sarah berkata, dia masih tidak mempunyai deria rasa dan bau selain mengalami cirit-birit.

“Ketika mula disahkan positif, saya ada gejala demam dan sakit tekak sebab batuk. Selepas makan ubat saya kembali okay. Kemudian, saya mengalami cirit-birit hingga hari ini, tapi tak teruk.

“Jadi, sepanjang kuarantin ini saya makan vitamin C sebanyak empat biji sehari atas saranan doktor. Untuk sistem imunisasi badan pula, saya amalkan meminum air sarang burung. Selain itu, saya amalkan minum air rebusan beberapa herba seperti bunga cengkih, batang serai, kunyit, halia, bunga lawang, buah pelaga, ketumbar dan kulit kayu manis.

“Terima kasih kepada mak mentua yang tolong rebuskan. Ini adalah tips daripada Datuk Profesor Dr Che Muhaya Mohamad. Alhamudulillah, tips ini sangat membantu,” katanya.

Dalam masa sama, Puteri Sarah tetap mengamalkan gaya hidup sihat dengan membuat aktiviti senaman.

“Bagi segelintir pesakit Covid-19 ada yang tidak boleh bangun, mungkin disebabkan komplikasi masalah kesihatan lain. Tapi, bagi yang masih muda dan tidak ada penyakit lain, jangan layan dan manjakan sangat sakit ini.

“Apa yang saya buat adalah bersenam dan bagi badan berpeluh. Setiap pagi kena menghadap matahari. Diakui ketika mula kena, rasa ‘down’ dan terkejut. Tapi, apabila kita berfikiran positif, insya-Allah tubuh kita sihat. Kalau kita manjakan sangat sakit ini, nanti bertambah tekanan dan sedih. Jadi, cuba elakkan,” katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah mengesahkan dirinya positif Covid-19,kelmarin selepas tiga kali membuat ujian saringan. Sebelumnya, dia menjalani proses kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat jenis C sejak 6 Mei lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat