Mesyuarat PH Tegang Kerana Ada Orang Nak Mahathir Jadi PM Selamanya – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan rakaman audio mesyuarat gabungan itu pada 21 Februari lalu yang ditularkan baru-baru ini adalah sah.

Anwar turut berkata semua pertikaman lidah dalam mesyuarat itu juga benar-benar berlaku dan disaksikan sendiri oleh beliau.

“Memang tepat apa yang disuarakan itu bukan palsu memang berlaku begitu, dan saya tidak fikir ia berlaku tanpa perancangan baru, tanpa dalang besarnya kerana seperimana kita tahu yang dibangkitkan itu soal kedudukan Tun Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini tersebar rakaman audio lebih dua jam semasa mesyuarat Majlis Presiden PH yang kedengaran tegang apabila pertikaman lidah tentang penetapan tarikh peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar.

Antara suara yang kedengaran dalam rakaman audio itu adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Lim Guan Eng, Datuk Seri Azmin Ali dan ada juga suara Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata situasi itu tegang kerana ada pihak yang tidak puas hati dengan indidivu yang menyingkap kembali janji yang dibuat PH bahawa jawatan perdana menteri hanya digalas sementara oleh Dr Mahathir dan patut diserahkan kepada beliau.

Malah perkara itu pernah dipersetujui semua parti gabungan parti dalam PH.

“Disebut mulanya setahun, dua tahun, kemudian lepas APEC, saya setuju semua, itupun tidak memuaskan hati golongan ini, ada kakak itu sebut kalau boleh biarlah (Mahathir) selamanya, ini putar belit politik, paling rendah dan jijik dalam sejarah,” katanya.

Kakak yang dimaksudkan dipercayai merujuk kepada bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Kata Anwar, semuanya bermula apabila beberapa pemimpin Bersatu dan bekas pemimpin PKR bertindak membuat bantahan jika isu peralihan kuasa terus dibangkitkan.

“Bila dalam mesyuarat itu, beberapa orang PPBM dan pengkhianat dalam PKR merancang membuat gesaan yang keras membantah apa-apa pandangan tentang transisi menyebabkan beberapa teman kita dari Amanah, PKR dan DAP bersuara

“Kita sokong Tun Mahathir sebagai perdana menteri, tapi kita ada perjanjian, ini dari satu tahun, ke dua tahun, lepas APEC, lepas itu tiga tahun kemudian sampai bila-bila, jadi ia bertentangan dengan perjanjian, itu mengkhianati perjanjian, bukan sahaja kepada PH tapi kepada rakyat,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, rakaman bertajuk “Pendedahan Eksklusif Mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020” yang dimuat naik di Facebook ‘Bersatu Sokong Tun Mahathir’ tular di media sosial itu.

Dua hari kemudian, satu lagi rakaman audio ditularkan memaparkan intipati Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang membincangkan rancangan untuk meninggalkan PH termasuk suara Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata ada pihak berniat jahat menyebarkan rakaman audio yang memperdengarkan suara beliau dalam MPT Bersatu.

Malah beliau mendakwa rakaman itu jelas telah disunting dan mencabar pihak yang berkenaan mengeluarkan rakaman penuh mesyuarat tersebut.‬

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat