Saya tak ada niat kenakan Guan Eng – Gnanaraja

KUALA LUMPUR – Saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang dihadapi Lim Guan Eng, menegaskan beliau tidak ada sebarang niat atau motif untuk mengenakan bekas ketua menteri itu sehingga didakwa di mahkamah.

Ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja yang juga saksi pendakwaan ke-37 berkata, dakwaan sebegitu adalah tidak munasabah kerana Guan Eng bukan musuhnya dan Penasihat DAP itu juga tidak pernah berbuat jahat kepadanya.

Menurut Gnanaraja, jika dirinya ada kecenderungan untuk menipu seperti didakwa pembelaan, sudah tentu beliau akan menyatakan empat beg berisi wang yang diberikan bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, adalah untuk Guan Eng, lapor BH pada Selasa.

“Tetapi saya tidak ada niat untuk kenakan Guan Eng dengan motif penipuan…saya dari awal lagi telah mengaku ambil wang RM19 juta.

“Kalau saya tidak mengaku, itu sudah menjadi satu penipuan, di sini saya cakap apa yang saya ambil dan saya juga mengaku apa yang saya beri kepada Guan Eng,” katanya.

Gnanaraja berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah berkenaan.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa beliau sendiri yang menyerahkan dua beg hitam berisi wang berjumlah RM2 juta kepada Guan Eng selepas menerimanya daripada Zarul Ahmad di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017.

Sementara itu, Gnanaraja menafikan bahawa beliau menipu dalam kenyataannya berhubung kedatangan Guan Eng ke rumahnya pada jam 3 pagi.

Menurut Gnanaraja, tidak pernah sesiapa pun yang datang ke rumahnya pada waktu berkenaan walaupun dia mempunyai rakan yang berpangkat menteri.

“Hanya Lim Guan Eng sahaja,” katanya.

Wan Shaharuddin: Anda bersetuju dengan peguam bahawa kehadiran Lim Guan Eng ke rumah anda pada jam 3 pagi adalah tidak masuk akal, boleh jelaskan kenapa anda bersetuju?

Gnanaraja: Saya bersetuju dengan peguam ia tidak masuk akal kerana memang tidak boleh dipercayai atau diterima untuk seorang berpangkat Ketua Menteri hadir ke rumah saya pada 3 pagi.

Gnanaraja berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa dia ada membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk menjadi saksi dalam kes rasuah itu bagi mendapatkan pertuduhan yang lebih rendah bagi kes dihadapinya di Shah Alam.

“Pada awalnya dalam kes di Shah Alam saya tidak menafikan menerima wang daripada Zarul Ahmad, cuma nak beritahu apa yang selebihnya (wang) saya beri kepada siapa. Beginilah bermulanya pembabitan saya dalam kes ini,” katanya.

Pada 3 April 2019, Gnanaraja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu Zarul Ahmad membabitkan RM19 juta.

Beliau didakwa memperdaya Zarul Ahmad dengan mempercayai bahawa beliau boleh membantu menutup siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Bagaimanapun, kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Selepas Gnanaraja selesai memberi keterangan, prosiding diteruskan dengan pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan pertama ke atas Guan Eng.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan pada 6 Mei bagi keputusan dan menyambung perbicaraan.

Gnanaraja memberikan keterangan terhadap Guan Eng yang didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat