2,340 Jangkitan Baru Covid, 11 Kes Kematian Direkodkan Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,340 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, tidak banyak perubahan berbanding 2,341 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan setakat ini 381,813.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitter rasmi memaklumkan Selangor mencatat kes baharu tertinggi dengan 526 kes, diikuti Sarawak (429), Kelantan (370), Kuala Lumpur (291) dan Sabah (172).

Sejumlah 170 kes direkodkan di Johor, diikuti Pulau Pinang (111), Pahang (81), Melaka (63), Kedah (55), Perak (38), Negeri Sembilan (24), Putrajaya (enam), Labuan (dua) dan masing-masing satu kes di Terengganu dan Perlis.

Sementara itu, menerusi kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, 12 adalah kes import manakala 2,328 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Sebanyak 1,910 kes sembuh dilaporkan bagi tempoh sama, sementara 248 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 101 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menambah jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 21,687.

Dalam tempoh 24 jam lepas juga, terdapat 11 kematian baharu akibat wabak itu direkodkan melibatkan sembilan warganegara dan dua warga asing berumur antara 61 hingga 82 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat COVID-19 di negara ini sebanyak 1,400.

Dalam pada itu, sebanyak 11 lagi kluster baharu dikesan melibatkan empat kluster pendidikan termasuk tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), tiga kluster komuniti, dua kluster tempat kerja, serta masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Dr Noor Hisham berkata kluster pendidikan melibatkan institusi pendidikan KPM ialah Kluster Jalan Anggerik 21 di Johor, Kluster Pengkalan Batik (Melaka) dan Kluster Anggerik Cempaka (Kedah), manakala kluster bukan institusi di bawah KPM ialah Jalan Langat Ceria (Selangor).

Tiga kluster komuniti adalah di Sarawak melibatkan Kluster Sungai Lemayong, Kluster Duranda Emas dan Kluster Taman Mesra Bako, sementara kluster di tempat kerja adalah Kluster Pintasan Kampung Jawa (Pulau Pinang) dan Kluster Putra Tiga (Putrajaya).

“Kluster Pagar Siput Dua di Johor adalah kluster pusat tahanan, manakala Kluster Jalan Perai Jaya (Pulau Pinang) adalah kluster keagamaan,” katanya memaklumkan jumlah kluster aktif kini 343 kluster selain lapan kluster diisytiharkan tamat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat