Hutan Pacu Ekonomi, Malaysia Perkukuh Agenda Kelestarian – Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, – Malaysia terus komited memperkukuh agenda pemeliharaan dan pemuliharaan hutan sebagai aset strategik negara yang bukan sahaja penting kepada kestabilan ekosistem, malah berperanan memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada 21 Mac setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta menggalakkan usaha pemuliharaan demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Menurut beliau, hutan berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi yang membantu menstabilkan suhu global dan mengurangkan kesan perubahan iklim, sekali gus menjadi komponen penting dalam usaha menangani pemanasan bumi.

Tahun ini, tema sambutan “Hutan dan Ekonomi” menekankan peranan sektor perhutanan dalam menjana pendapatan, peluang pekerjaan serta perdagangan global melalui hasil hutan, termasuk produk bukan kayu, perkhidmatan ekosistem dan potensi perdagangan karbon.

Arthur berkata, sektor perhutanan dan pertanian menyumbang sebanyak RM6.006 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, membuktikan impak ekonomi positif melalui pengurusan sumber hutan secara mampan.

Dalam masa sama, Malaysia turut melaksanakan pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) bagi memastikan produk kayu-kayan berasal daripada sumber sah dan lestari. Sehingga kini, kawasan hutan seluas 5.92 juta hektar telah menerima pensijilan tersebut, sekali gus membantu mengurangkan kadar penyahhutanan serta melindungi kawasan tadahan air.

Beliau turut memaklumkan bahawa Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal akan dikurangkan kepada 890,000 hektar bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 berbanding 1.165 juta hektar sebelum ini. Langkah ini bertujuan menyeimbangkan keperluan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta menjamin bekalan kayu industri secara berterusan.

Selain itu, kementerian melalui jabatan perhutanan di peringkat Persekutuan dan negeri giat memperkasakan pembangunan ekopelancongan berasaskan hutan sebagai alternatif kepada aktiviti pembalakan konvensional. Inisiatif ini termasuk penggunaan peruntukan Ecological Fiscal Transfer bagi memudahkan proses permit ekopelancongan secara dalam talian.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga memainkan peranan penting dalam membimbing komuniti luar bandar mengurus aktiviti ekopelancongan secara mampan, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi setempat tanpa menjejaskan ekosistem hutan.

Arthur menegaskan, hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi merupakan warisan berharga negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Justeru, komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan kelestarian sumber semula jadi dapat dinikmati rakyat kini dan masa depan.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Hutan Antarabangsa 2026 serta Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat