“Ini Bukan Rumah Ibadat” – Tamim Dakwa Anggota Arah Tanggalkan Kopiah, Berbogel Dalam Lokap

CYBERJAYA – Aktivis kempen membantah pembinaan kuil yang didakwa tidak sah, Tamim Dahri, tampil mendedahkan pengalaman beliau ketika ditahan di lokap, yang menurutnya melibatkan layanan kasar dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam satu episod podcast Suara Sunnah, Tamim mendakwa dua rakannya diarahkan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali dalam keadaan berbogel sebelum memakai pakaian lokap. Beliau berkata kejadian itu berlaku di hadapan anggota polis.

Menurut Tamim, semua tahanan diarahkan membuka pakaian sepenuhnya sebelum mengenakan pakaian lokap. Namun beliau mempersoalkan tindakan memaksa tahanan melakukan ketuk ketampi dalam keadaan tersebut, yang disifatkannya sebagai tidak wajar dan memalukan.

“Kami belum lagi didapati bersalah. Kami hanya ditahan untuk siasatan,” katanya, sambil menegaskan bahawa seseorang yang belum disabit kesalahan tidak seharusnya dilayan seperti penjenayah.

Tamim turut mendakwa keadaan sel di lokap berkenaan terlalu padat apabila seramai 26 tahanan ditempatkan dalam satu ruang sempit, yang dianggarkan kira-kira 10×10 kaki. Katanya, kedudukan tandas tanpa penghadang penuh menyebabkan aurat tahanan terdedah kepada yang lain.

Beliau juga mendakwa seorang rakannya pengsan dipercayai akibat tekanan dan keadaan sel yang sesak serta panas. Tamim berkata beliau telah memaklumkan kepada anggota bertugas, namun mendakwa menerima respons yang tidak sewajarnya.

Dalam masa sama, beliau membandingkan layanan yang diterima di lokap Dang Wangi yang menurutnya lebih profesional dan menjaga privasi tahanan.

Tamim berkata beliau bercadang membuat laporan polis terhadap beberapa anggota yang dinamakan, serta menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut termasuk meneliti rakaman CCTV sekiranya ada.

“Kami beri kerjasama penuh. Kalau kami salah, betulkan. Tapi kalau benar berlaku, tindakan sewajarnya perlu diambil supaya perkara ini tidak berulang,” katanya.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung dakwaan tersebut

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat