RM100 juta untuk filem Everest

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan rakyat Malaysia menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, 25 tahun lalu memberi inspirasi kepada sebuah syarikat produksi tempatan, Fullmoon Pictures (M) Sdn Bhd memindahkan lakaran sejarah itu ke layar perak.

Lebih membanggakan, naskhah berjudul Peak of Heaven itu bakal menjadi filem termahal dalam sejarah perfileman negara dengan kos penerbitan mencecah RM100 juta.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures, Izzat Hazim berkata, sebagai projek yang misinya adalah meletakkan filem Malaysia di mata dunia, bajet besar amat diperlukan.

Semuanya bagi menampung tenaga kerja pakar dari luar negara serta teknologi terkini pembikinan filem.

“Pada 25 tahun lalu, melalui Ekspedisi Gunung Everest pada 1997, 10 pendaki terpilih menempuh cabaran dan bertarung nyawa menawan gunung tertinggi dunia.

“Selepas lebih dua dekad sejarah itu dilakar, tidak banyak kisah mereka diceritakan. Kami hanya memahami pahit getir pendaki ketika mengkaji mengenai kisah berkenaan. Ini termasuk proses temubual, artikel dan dokumentari.

“Filem ini menelan belanja kira-kira RM100 juta kerana kita akan menggunakan teknik rakaman stage craft (The Volume) yang banyak digunakan dalam filem terbitan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

Lian Ker (dua dari kiri) bergambar bersama enam pendaki Gunung Everest pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 Ekspedisi Gunung Everest 1997 di MATIC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Amirudin Sahib
Lian Ker (dua dari kiri) bergambar bersama enam pendaki Gunung Everest pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 Ekspedisi Gunung Everest 1997 di MATIC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Amirudin Sahib

 

“Teknologi ini sahaja menelan belanja sebanyak RM45 juta kerana kecanggihannya lebih hebat dari penggunaan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya kepada BH Online.

Izzat menambah biarpun bajet diperlukan RM100 juta, namun, ia boleh dianggap sedikit berbanding filem genre serupa yang pernah diterbitkan.

“Pada 2015, Hollywood pernah menerbitkan sebuah filem berjudul Everest dengan kos bernilai RM250 juta.

“Pada kos RM100 juta yang akan dilaburkan, filem Peak Of Heaven masih dianggap sedikit untuk sebuah filem bertaraf mega,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran francais media yang dikenali sebagai The Summit-97 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara, baru-baru ini.

Sejajar kos yang diperuntukkan, Izzat memberitahu, mereka sudah membayangkan siapa pelakon dan tenaga produksi antarabangsa impian yang akan bekerjasama dalam projek itu.

“Memandangkan misi kami adalah untuk menayangkan filem ini di peringkat global, khidmat pelakon terkenal amatlah diperlukan.

“Produksi berminat untuk bekerjasama dengan dua selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia yang berjaya mencipta nama di luar negara iaitu Henry Golding dan pemenang Australian Idol musim pertama, Guy Sebastian sebagai penyanyi runut bunyi filem ini.

“Selain itu, kita juga akan mendapat khidmat pemenang Anugerah Akademi iaitu komposer A Rahman dan pakar sinematografi, Phedon Papamichael sebagai antara tenaga produksi filem ini.

“Bagaimanapun, kita tetap akan mengambil pelakon tempatan untuk terbabit dalam pembikinan filem ini. Kami mahu mereka menimba pengalaman dengan tenaga kerja dari luar negara ini.

“Filem arahan R Shatish yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fullmoon Pictures bersama beberapa sutradara dari luar negara ini akan memulakan penggambaran selepas pertengahan tahun,” katanya.

Jika segala-galanya lancar, Izzat memaklumkan filem ini bakal menjengah pawagam pada April 2023.

The Summit 97 adalah kempen yang digerakkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 kejayaan Malaysia menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Selain pembikinan filem, kempen dilancarkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker itu turut

menghasilkan penerbitan buku, dokumentari, aplikasi permainan, muzik latar asli, rakaman belakang tabir dan animasi.

Yang turut hadir pada hari pelancaran adalah enam pendaki negara yang mencipta rekod iaitu Datuk M Magendran; Datuk N Mohanadas; Aimi Zairin Mohamed; Gary Chong; Borhan Ibrahim dan Zahidi Paiman.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat