Kerajaan Pandang Serius Isu Lelaki Didakwa Murtadkan Wanita Islam – Zulkifli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius isu seorang lelaki bukan Islam yang dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam bukan warga Malaysia, yang videonya tular baru-baru ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kes berkenaan kini dalam siasatan dan tindakan pihak polis.

Justeru, beliau meminta orang ramai memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kedudukan Islam adalah terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah hak untuk menganutinya dan mengamalkannya.

“Pun begitu, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal ini memberi kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam, termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekalipun.

“Hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan dan ia merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia.

“Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu-isu berkaitan pengukuhan akidah.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai hab khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada mana-mana umat Islam yang berhadapan dengan masalah ini,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyatakan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu seperti ini.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang usaha yang boleh mengeruhkan hubungan antara agama khususnya melibatkan sensitiviti agama-agama di Malaysia.

“Dalam masa yang sama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama badan bukan Kerajaan (NGO) bersedia dalam usaha memperkasa dakwah dan tarbiah kepada umat Islam khususnya dari sudut akidah dan kerohanian melalui pendekatan yang menyeluruh dan selari dengan Maqasid Syariah,” jelasnya.

Zulkifli berkata, sebagai Pengerusi bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Antara Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara, beliau akan berusaha untuk memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah.

“Saya menyeru agar agar semua pihak dapat menghormati antara satu sama lain, serta tidak bertindak menyalahi lunas perundangan, terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum supaya keharmonian kaum dan agama terus terpelihara di negara yang penuh barakah ini,” tambahnya.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat