‘Bob bertahan selagi mampu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cuba bertahan dengan kudrat yang ada demi hidup. Itulah situasi dihadapi pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 57, yang belum pulih daripada masalah jantung, sejak beberapa tahun lalu.

Bob atau nama sebenar, Mohd Hakim Lokman yang menghasilkan lirik lagu ‘berhantu’ seperti Isabella dendangan kumpulan Search dan Taman Rashidah Utama dipopularkan Wings, mengakui masih berjuang dengan masalah jantung dan cepat letih.

“Selepas keluar hospital, saya cepat penat. Keadaan kesihatan saya turun dan naik. Saya ingat boleh ‘terbang’ macam Superman, tetapi tidak boleh juga.

“Saya bertahan selagi mampu… Memang tidak boleh rancak sangat pergerakan,” katanya berkongsi perkembangan terbaru kesihatannya kepada BH Online.

Kini menetap di Kelantan bersama isteri dan anak, Bob mengakui dalam keadaan sekarang, dirinya reda berdepan segala kemungkinan.

“Saya memang bersedia dengan segala kemungkinan termasuk yang buruk iaitu soal mati. Bukan hendak kata saya tak takut mati, semestinya saya takut. Jadi, saya cuba habiskan ruang hidup ini melakukan perkara bermanfaat. Saya tidak mahu menyesal pada kemudian hari,” katanya.

Bob dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selama sebulan, Oktober lalu, bagi melakukan prosedur memasukkan bateri pada jantung.

Melalui prosedur itu, Bob dilaporkan bergantung kepada jantung kombinasi bateri untuk bernafas dan perlu membawa alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) ke mana-mana sahaja.

Meneruskan kelangsungan hidup, Bob berkata, dia masih menawarkan perkhidmatan katering juadah Pantai Timur yang masih mendapat sambutan pelanggan dan rakan.

 

Meneruskan kelangsungan hidup, Bob menawarkan perkhidmatan katering juadah Pantai Timur yang mendapat sambutan pelanggan dan rakan. - Foto Ihsan Bob Lokman
Meneruskan kelangsungan hidup, Bob menawarkan perkhidmatan katering juadah Pantai Timur yang mendapat sambutan pelanggan dan rakan. – Foto Ihsan Bob Lokman

 

Bob memiliki kepakaran memasak dan pernah membuka restoran di TTDI, Shah Alam.

“Tetapi sekarang saya tidak memasak. Disebabkan keterbatasan diri, saya jadi ‘tukang tengok’ dan pantau sahaja. Antara tempahan diterima adalah nasi maqluba, bubur daging dan serunding daging. Kebanyakan juadah adalah hidangan eksotik Kelantan. Kadang-kadang ada kawan meminta masak sup gear box dan sup tulang,” katanya.

Bob yang pernah membintangi filem Santau dan Jin Notti bersyukur kerana isteri dan anak lelakinya mengambil alih tugas memasak.

“Saya lebih banyak mengarah itu dan ini… Hendak pegang senduk pun tak boleh lama. Sesekali, saya ambil tugas menghantar makanan di sekitar rumah dengan memandu kereta. Bosan juga duduk memerap dalam rumah. Jadi saya cuba cari alternatif ambil angin keluar rumah,” katanya.

Selain itu, Bob banyak menurunkan ilmu memasak kepada isteri dan anaknya.

“Kalau saya tiada nanti, tak ralatlah. Masa pun banyak dihabiskan dengan keluarga sekarang,” katanya.

Bob yang terbatas pergerakan turut bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

“Hendak pergi beri ceramah agama pun tak larat, bukan seperti dahulu,” katanya.

Bob berkata, sejak berdepan masalah kesihatan, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave sering menghulurkan sumbangan.

“DJ Dave selalu tolong saya. Begitu juga Pertubuhan Muslim Care. Sebelum ini, saya ada mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang digunakan untuk membantu saya tidur dan pernafasan sumbangan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

“Selepas mesin itu rosak, Muslim Care beli yang baharu. Jika nafas saya terhenti, mesin itu secara automatik berfungsi dan memberi isyarat untuk pernafasan aktif semula,” katanya.

Bob berkata, sejak sakit dan penularan pandemik COVID-19, dia jarang berpeluang pergi ke Kuala Lumpur melawat rakan.

“Kalau dapat pergi Kuala Lumpur dan berjumpa kawan lama seperti Hattan dan Datuk M Nasir seronok juga. Tetapi itulah, dengan keadaan saya, semua itu jadi mustahil. Hendak jumpa anak yang belajar tahfiz di Terengganu pun sukar,” katanya sambil memberitahu tiga anaknya mendalami ilmu tahfiz.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat