DOXXING DAN JENAYAH SIBER

- Advertisement -

Oleh: Zahari Affendi Bin Abdul Kadir

PERNAHKAH ada antara anda mengalami keadaan di mana maklumat peribadi diri anda disebarkan di internet oleh orang yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk memalukan anda atau si pelaku (anonymous person) tersebut sengaja mengajak netizen untuk marah dan membuli anda dengan memuatnaik status berkenaan anda yang mengundang kemarahan di Internet? Tindakan ini dipanggil doxxing.

Doxxing adalah salah satu bentuk serangan siber.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ipsos.com pada tahun 2018, Malaysia tersenarai di kedudukan ke-2 tertinggi di Asia selepas India untuk kes buli siber. Kajian Ipsos ini adalah senada dengan laporan oleh United Nations Children’s Fund (UNICEF) yang menyatakan bahawa 3 orang daripada 10 orang remaja di Malaysia direkodkan pernah menjadi mangsa buli siber di negara ini.

Doxxing berlaku apabila seorang individu atau entiti mempamerkan maklumat peribadi mangsa atau orang yang berkaitan dengan mangsa seperti pasangan, saudara mara, kawan sekerja atau rakan-rakan mangsa bertujuan untuk memalukan, mengugut, menghukum mangsa di mana pelaku mengetahui kesan tindakan itu akan menyebabkan mangsa terkesan dari segi mental dan fizikal.

Maklumat peribadi ini boleh merujuk kepada apa-apa maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mangsa seperti gambar mangsa, video, akaun media sosial, alamat rumah, maklumat kenderaan, maklumat tempat kerja dan maklumat keluarga mangsa.

Doxxing ini boleh terjadi apabila pelaku dengan niat menyiarkan maklumat peribadi seseorang bertujuan untuk menyebabkan gangguan, ketakutan atau tekanan kepada mangsa, atau dengan niat menyiarkan maklumat peribadi mangsa bertujuan untuk menakutkan mangsa bahawa ia akan dicederakan atau menyiarkan maklumat peribadi mangsa dengan pengetahuan ianya akan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Banyak tindakan doxxing ini dilakukan oleh netizen di internet dan media sosial tanpa mengetahui ianya merupakan salah satu perbuatan buli siber atau serangan siber. Apabila berlaku sesuatu kejadian yang viral di internet, tidak berapa lama dari itu akan terpaparlah maklumat peribadi pihak-pihak yang terbabit dalam kejadian viral itu hasil risikan dari golongan netizen yang dipanggil “Jabatan Netizen Negara”.

Antara contoh doxxing yang berlaku dalam negara ini adalah seperti tindakan mendedahkan maklumat peribadi pihak-pihak yang terlibat dalam video viral kemalangan jalanraya, video pergaduhan, kes-kes provokasi, tindakan memaparkan maklumat peribadi pihak yang berhutang dan lain-lain lagi.

Masalah kita di Malaysia ini adalah perbuatan doxxing ini masih belum dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan Malaysia masih belum mempunyai akta yang spesifik untuk menghukum penjenayah buli siber seperti tindakan doxxing.

Buat masa ini, Malaysia masih menggunakan peruntukan-peruntukan yang berkenaan di dalam Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 serta beberapa akta lain seperti Akta Jenayah Komputer 1997 untuk mendakwa penjenayah siber di mana pergantungan kepada akta-akta ini dilihat tidak memadai dan mencukupi untuk membendung aktiviti jenayah siber yang semakin kompleks setiap hari.

Singapura sebagai contoh untuk membendung aktiviti jenayah siber telah menggubal Akta Perlindungan Dari Gangguan 2014 atau Protection From Harrassment Act 2014 untuk melindungi rakyat Singapura dari gangguan dan tindakan mengintai (unlawful stalking) dan memberikan remedi kepada mangsa jenayah siber dari tindakan stalking, harassing, dan doxxing kepada mangsa.

Akta tersebut juga memberikan remedi kepada mangsa dengan mahkamah berkuasa memberikan Perintah Berhenti Menyiarkan (Stop Publication Order) kepada pelaku untuk semua tindakannya kepada mangsa yang dibuat secara salah.

Pengenalan akta tersebut secara tidak langsung telah dapat memberikan satu perlindungan kepada mangsa buli siber di Singapura dan perkembangan ini diharap dapat diikuti oleh Malaysia dalam memastikan hak-hak mangsa buli siber terjamin.

Buat masa ini, antara remedi yang boleh di ambil oleh mangsa buli siber adalah seperti memfailkan tindakan saman fitnah (defamation) terhadap pelaku, tindakan saman sivil, memfailkan injuksi, membuat aduan kepada Pertubuhan Pengguna Cyber Malaysia (MCCA), membuat aduan ke Pusat Bantuan Cyber 999 kendalian MyCert di bawah Cyber Security Malaysia atau membuat laporan polis di bawah Seksyen 499 untuk jenayah fitnah atau Seksyen 509 kerana menggunakan perkataan atau isyarat yang bertujuan untuk mengaibkan kehormatan seseorang.

Terdapat keperluan yang mendesak untuk akta spesifik menangani isu buli siber diperkenalkan dan menjadikan beberapa perlakuan serangan/ buli siber seperti doxxing sebagai satu jenayah siber di Malaysia ini. -SuaraTV

Penulis adalah seorang peguambela dan peguamcara yang beramal di Tetuan Zahari Affendi & Partners.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat