KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kecewa dengan sidang media bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang dianggap sekadar gimik politik murahan.
Tun Faisal malah berkata, tiada apa yang baharu mengenai sidang media Rafizi, kumpulan penentang Datuk Seri Anwar dalam PKR.
Melainkan katanya hanya mengulang kembali perkara-perkara yang telah diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan pengkritik-pengkritik kerajaan sebelum ini terkait sistem kehakiman.
“Tiada pengumuman yang menggemparkan, hanya suara kritikan dan penentangan yang lemah terhadap kerajaan PH-BN dan PM10. Malah kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dan pengkritik-pengkritik kerajaan terhadap Anwar adalah jauh lebih keras lagi.
“Kononnya, Rafizi ada 11 penyokong. Difahamkan mereka adalah – Ahli Parlimen Setiawangsa, Subang, Tanjung Malim, Gopeng, Johor Bharu, Wangsa Maju, Ledang, Petaling Jaya, Batu Pahat, Port Dickson dan Ampang.
“Bermaksud 12 daripada 31 MP PKR tidak bersama Anwar Ibrahim. Bagaimanapun yang hadir tadi hanya 7 orang (berdasarkan gambar yang disiarkan) dan dimaklumkan hanya sembilan orang Ahli Parlimen PKR yang menandatangani kenyataan bersama tadi,” kata Tun Faisal dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau justeru mempersoalkan, adakah ini sekadar gimik politik murahan Rafizi?
Pagi tadi, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.