PM arah MKN urus bencana, NADMA sekretariat utama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana telah membuat keputusan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera berkaitan bencana.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut.

Hasil mesyuarat hari ini beliau mengumumkan kerajaan akan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak.

Ismail Sabri memberitahu berita baik itu susulan pengumuman mengenai peruntukan segera dan dana sedia ada bagi membantu mangsa-mangsa banjir semalam.

Ujarnya, kerajaan dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang dipengerusikan beliau pada petang ini mengumumkan maklumat yang dikemaskini.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak,” umum Perdana Menteri.

Beliau turut memaklumkan bagi membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kata beliau, pembiayaan ini adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas 6 bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani.

Selain itu kata Perdana Menteri lagi, kerajaan juga ingin mengumumkan bahawa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang telah bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

“Ini adalah peningkatan lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

“GLIC dan GLC yang telah menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dengan geran Kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa (rental waiver) kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

Jelas beliau, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional.

“Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.

“Mesyuarat turut bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana,” kata beliau.

Sehingga petang ini katanya, sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang.

“Selain itu, saya telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada 4 buah pam sedia ada.

“Ini bertujuan untuk mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran.

“Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Klang,” ujar beliau.

Sementara itu,Perdana Menteri juga bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai. Lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

“Kerajaan juga mengalu-alukan sekiranya ada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu,” kata Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat