Naib-Naib Ketua Umno Bahagian Desak Zahid, Tok Mat lepas jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Naib Ketua Umno Bahagian-Bahagian Malaysia sepakat mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus berkata, desakan pengunduran Zahid itu sebagai menggalas tanggungjawab atas kekalahan yang memalukan malah lebih teruk berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Zahid didesak untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN serta- merta demi mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan yang memalukan malah lebih teruk berbanding PRU 2018 lalu.

“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin, namun penolakan jelas rakyat terhadap Umno atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat seterusnya mengembalikan Umno di hati mereka,” kata beliau.

Dalam pada itu, Naib Ketua Umno Bahagian-Bahagian juga menegaskan kesan daripada ketidakcekapan pimpinan Umno dalam mengurus perjuangan dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti telah mengakibatkan BN tewas begitu teruk pada PRU15.

“Selain itu, sebaran perbincangan dan usaha menyatukan parti Umno dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak diterima.

“Percaya dengan asas perjuangan parti Umno selama ini menegak syiar agama dan perjuangan masa depan Melayu dan Bumiputera, persefahaman dengan PH yang yang dikuasai, DAP adalah suatu pengkhianatan paling besar dan mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi dari ditolak parti,” kata Muhammad Anuar dalam kenyataan pada Ahad.

Desakan pengunduran seterusnya ditujukan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang memainkan peranan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

“Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN juga diminta melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno sebagai tanda betapa beliau bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh BN.

“Kegagalannya mengotakan beberapa janjinya termasuk mengekalkan penyandang-penyandang Ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable Likeable, (WALI) yang diuar-uar u telah mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan.

“Maka yang demikian, selari dengan kenyataan medianya sebelum ini bahawa akan melepaskan jawatan andainya BN tewas, hendaklah dikotakan,” tegas mereka lagi.

Tambahnya lagi, semua pemimpin Umno yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi Umno.

“Mereka yang jelas menjadi perhatian rakyat melalui pertambahan majoriti kemenangan yang ketara, mereka yang berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang sebelum ini tewas terutamanya kawasan bandar dan tidak ketinggalan bagi yang berjaya merobek kubu lawan yang mana masih tewas tetapi berjaya merobek majoriti lawan dengan begitu besar, harus ditempatkan di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai suatu ekspresi kepada rakyat bahawa Umno mengambil maklum akan kehendak dan suara mereka,” katanya.

Desakan seterusnya ialah meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat bela rakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang kita sebelum ini, malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga BN akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan.

“Maka mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat.

“Kami sentiasa peka dan sedia berjuang demi kelangsungan parti memperjuang kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Tidak ada kompromi di dalam memastikan Umno terus relevan di hati rakyat. Keterbukaan p pemimpin tertinggi parti adalah disanjung tinggi,”ujar Muhammad Anuar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,479FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat