PRU-15: Wan Azizah Bertanding Ampang, Mantan KSN Di Putrajaya?

- Advertisement -

CYBERJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dijangka bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau dijangka akan bertemu bekas Naib Presiden PKR yang kini menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin.

Selain Zuraida yang merupakan penyandang bagi Parlimen Ampang, kerusi itu juga juga bakal menyaksikan pertembungan bersama beberapa parti politik yang lain antaranya BN dan PAS.

Menurut sumber yang enggan namanya disiarkan kepada SuaraTV, nama Wan Azizah hampir pasti di Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebarang perubahan boleh berlaku pada bila-bila masa selagi ia tidak diumum secara rasmi.

PKR akan mengumumkan senarai penuh calonnya pada minggu depan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman tarikh-tarikh penting PRU-15 hari ini.

“Proses (memuktamadkan calon) berjalan baik dan PKR akan mengumumkan semua calon dalam satu ceramah besar beberapa hari selepas SPR bermesyuarat pada 20 Oktober ini,” kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di Twitternya Isnin lalu.

Sebelum berlakunya Langkah Sheraton, Zuraida memenangi Parlimen Ampang di bawah tiket PKR dengan majoriti sebanyak 41,956 undi. Ketika itu beliau berdepan dengan pertandingan empat penjuru berdepan dengan BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Selain itu, PKR juga dijangka meletakkan calon mereka di Parlimen Putrajaya meskipun sebelum ini ia milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Antara nama yang menjadi cakap-cakap bakal menjadi calon PKR di kerusi berkenaan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ismail Bakar.

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, kerusi Parlimen Putrajaya masih lagi dalam rundingan antara PKR dan Amanah kerana parti itu juga ingin meletakkan calon mereka.

Amanah dikhabarkan ingin meletakkan mantan speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof di Putrajaya.

“Masih dalam rundingan. Sebab Amanah pun ada calon yang mereka nak letak,” kata sumber itu lagi.

Parlimen Putrajaya sebelum ini kekal menjadi milik BN apabila penyandangnya
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menang dengan majoriti 3,372 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tengku Adnan yang memenangi kerusi Parlimen itu sebanyak empat kali berturut-turut memperoleh 12,148 undi menewaskan PAS dan PKR.

Sementara itu, menurut seorang sumber lain kepada SuaraTV, untuk Parlimen Hulu Langat, walaupun sebelum ini Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd disebut tidak mempertahankan kerusi berkenaan, namun ia berubah di saat akhir.

Sebelum ini, Amanah ingin meletakkan calon yang berasal dari Malaysia Timur di kerusi Hulu Langat namun selepas perbincangan, ia kembali kepada penyandangnya.

“Hasanuddin akan kekal di Hulu Langat, insya-Allah,” kata sumber itu ringkas.

Hasanuddin yang pertama kali bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU-14 berjaya memperoleh majoriti sebanyak 25,424 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama BN dan PAS.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat