MELAKA, 20 Ogos — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan kes berkaitan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, sekiranya terdapat bukti berlaku kesalahan, individu yang terlibat perlu ditangkap, didakwa dan dibicarakan, manakala mereka yang tidak bersalah perlu dilepaskan.
“Pada saya senang saja. Disyaki dengan bukti, tangkap, bicara. Kalau tak salah lepaskan. Kalau salah hukum cukup-cukup.
“Boleh kot buat mahkamah khas untuk cepatkan perbicaraan. Sebab kes ini straight forward dan melibatkan kepentingan agama dan wang rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohd Noor Helmy berkata kerajaan sendiri yang membangkitkan isu berkenaan dan sekiranya dakwaan yang dibuat dapat dibuktikan, ia tentunya memberi kelebihan dari segi moral serta meningkatkan sokongan terhadap kerajaan.
“Lagipun yang membangkitkan isu ini kerajaan juga. Kalau kerajaan betul, tak ke untung dari segi moral dan sokongan pada mereka meningkat? Takkan kerajaan tak nak untung kot,” katanya.
Beliau pada masa sama berpandangan penggunaan slogan dan tuduhan politik semata-mata tidak akan menyelesaikan kontroversi berhubung TH.
“Jerit-jerit ‘sakau’ tak selesaikan apa-apa pun. Semoga yang terjerit-jerit itu benar-benar faham apa yang berlaku,” katanya.
Mohd Noor Helmy berkata beliau tidak mahu mengulas secara teknikal mengenai aspek ekonomi dalam laporan berkenaan kerana mengakui bukan bidang kepakarannya dan terdapat pelbagai penulisan serta pandangan dengan kecenderungan berbeza mengenai isu tersebut.
Justeru, katanya, pendekatan paling mudah ialah menyerahkan kepada proses undang-undang untuk menentukan sama ada wujud kesalahan dan menghukum pihak yang terbukti bersalah.



