Perolehan tentera hendaklah mengambil kira teknologi terkini, kesesuaian operasi seiring perubahan geopolitik Indo-Pasifik, Laut China Selatan dan ancaman moden – TMJ

KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah, dengan perubahan geopolitik Indo-Pasifik, perkembangan di Laut China Selatan serta kemunculan ancaman moden serta persaingan kuasa-kuasa besar, angkatan tentera tidak boleh berasa selesa dengan keupayaan yang sedia ada.

Menurut baginda, landskap keselamatan yang kian berubah menjadi lebih kompleks dan sukar diramal memerlukan tahap kesiapsiagaan, keupayaan dan daya tahan yang lebih tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerak Khas merangkumi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan, serta aset operasi perlu berada pada tahap yang terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa hadapan.

“Justeru itu, saya ingin mengingatkan kepada pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, dan Tentera Darat Malaysia, ini adalah tanggungjawab anda semua,” titah Baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian ketika berangkat selaku Wakil Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, merangkap Kolonel Komandan GGK, ke Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Kem Iskandar, Mersing.

Turut berangkat mengiringi Pemangku Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

Sementara itu Tunku Ismail turut bertitah menggesa pihak kerajaan agar segala proses pembangunan dan perolehan mesti berasaskan keupayaan, kualiti dan keberkesanan operasi dalam memberi nilai terbaik kepada Rejimen Gerak Khas.

“Setiap rancangan pembangunan dan perolehan Rejimen Gerak Khas melalui Rancangan Malaysia Ke-13 perlu diberi keutamaan dan perhatian serius.

“Perolehan hendaklah mengambil kira teknologi terkini, keberkesanan kos, kesesuaian operasi dan keperluan jangka masa panjang.

“Pembaziran, kelewatan yang tidak munasabah ataupun perolehan yang gagal memenuhi keperluan pengguna adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku,” titah Baginda.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat