MELAKA — Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Melaka memberi gambaran seolah-olah terdapat gerakan atau perbincangan dalaman untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
ADUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRN akan datang sekiranya BN dan PH mencapai kerjasama.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau lebih rela mempertahankan prinsip daripada mempertahankan kedudukannya sebagai wakil rakyat.
“Kata UMNO bermuka-muka. Kata UMNO tikam kawan. Tapi UMNO juga yang dicari.
“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast KS iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding sebab saya lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat,” katanya.
Akmal hari ini sekali lagi memuat naik kenyataan yang dilihat menguatkan pendiriannya apabila menyeru pemimpin supaya mendengar suara rakyat.
“Dengarlah suara rakyat, kerana atas kepercayaan dan suara merekalah kita berada di sini.
“Bawalah suara rakyat dengan berani, walaupun terpaksa menongkah arus dan berdiri sendirian,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi Merlimau.
Seorang lagi ADUN BN, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mewakili Duyong turut mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik kenyataan ringkas tetapi penuh makna di Facebook.
“Jangan sampai menang tapi tak menang,” tulisnya.
Walaupun Helmy tidak menjelaskan pihak atau isu yang dirujuk, kenyataan itu muncul ketika perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama BN-PH pada PRN Melaka semakin hangat.
Kenyataan kedua-dua ADUN berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada rundingan mengenai kerjasama BN-PH sudah mula dibincangkan di peringkat tertentu sehingga mencetuskan reaksi dalam kalangan pemimpin UMNO negeri.
Perkembangan itu berlaku selepas Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kesediaan PH untuk berbincang dengan BN mengenai kemungkinan kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula hari ini tidak menolak sebarang kemungkinan apabila menggambarkan BN sebagai “anak dara yang cantik” yang menerima banyak pinangan.
Menurut Ab Rauf, BN belum membuat keputusan mengenai rakan kerjasama dan akan menunggu tawaran terbaik sebelum menentukan pendirian.
Situasi itu menjadikan persoalan mengenai formula kerjasama pilihan raya BN semakin menjadi perhatian, khususnya sama ada BN akan memilih untuk bertanding bersama PH atau menggunakan kekuatan sendiri bagi mempertahankan pentadbiran Melaka.



