KUALA LUMPUR – Di sebalik setiap keputusan pilihan raya, ada suara rakyat yang perlu didengar, perubahan yang mesti difahami dan amanah yang perlu diterjemahkan melalui kerja.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada parti boleh menganggap kepercayaan rakyat sebagai sesuatu yang kekal.
Menurut Presiden Umno itu lagi, ia perlu terus diperoleh melalui prestasi, kerja yang konsisten dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat.
“Malam tadi, saya kembali bersama dalam BN Forum Siri Ke-11 yang mengangkat satu persoalan menarik untuk direnungi bersama, “Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia?” Alhamdulillah, rakyat telah memberikan kepercayaan yang besar kepada Barisan Nasional dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.
“Namun kemenangan tidak seharusnya membuatkan kita berhenti bertanya, menilai dan belajar. Di sebalik setiap keputusan pilihan raya, ada suara rakyat yang perlu didengar, perubahan yang mesti difahami dan amanah yang perlu diterjemahkan melalui kerja.
“Saya banyak mendengar dan meneliti pandangan yang dilontarkan oleh barisan panel. Politik hari ini semakin dinamik dan pengundi semakin matang dalam membuat pilihan.
“Tahniah kepada semua kerana berjaya membawa BN Forum sehingga ke siri yang ke-11. Sambutan yang terus diberikan membuktikan bahawa ruang wacana terbuka dan berilmiah seperti ini masih penting dalam ruang perbincangan politik nasional,” jelas Zahid.
Ujar Timbalan Perdana Menteri, inilah budaya yang mahu terus kita suburkan dalam Barisan Nasional — bukan sekadar bercakap tentang perubahan, tetapi berani mendengar, menilai kelemahan, membaca perubahan dan memperbaiki diri untuk kelangsungan masa hadapan.
“Kemenangan kita syukuri. Kekurangan kita insafi. Kepercayaan rakyat terus kita santuni.
“Kerana akhirnya, better politics must ultimately create a Better Nation. Insya-Allah,” ujarnya.


