Oleh Zihan Zari
IPOH – Penerbitan saintifik merupakan petunjuk penting terhadap sejauh mana hasil penyelidikan dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu, menyelesaikan permasalahan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin.
Muhammad Rawi berkata penerbitan yang berkualiti perlu menjadi medium untuk memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti di peringkat makmal atau institusi, sebaliknya dapat dikongsi, difahami dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak.
“Penerbitan berimpak tinggi adalah cerminan kepada hasil penyelidikan dan kesannya dalam menyelesaikan masalah, memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026 di Hotel Travelodge Ipoh, dekat sini pada Selasa.
Seminar bertemakan “Penerbitan Berimpak Tinggi Teras Perkembangan Ilmu” dianjurkan oleh Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta disokong oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP); Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM); PTS Media Group; Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA); dan Majalah Sains. com.
Dalam perkembangan sama, Nuklear Malaysia dalam kenyataan berkata penganjuran program ini bertujuan memperkukuh kemahiran golongan profesional dan teknikal dalam menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti dan berintegriti serta sesuai untuk diterbitkan dalam penerbitan saintifik.
Katanya, program ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan terkini dalam bidang penerbitan ilmiah, khususnya dalam usaha memperkukuh penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.
Selain itu, turut memberi perhatian kepada landskap penerbitan saintifik yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan pesat sekarang iaitu Kecerdasan Buatan
(AI), analisis data dan penerbitan akses terbuka.
“Perkembangan tersebut membuka peluang proses penulisan dan penyebaran ilmu, namun pada masa yang sama memerlukan pemahaman yang kukuh mengenai integriti akademik, ketepatan data, plagiarisme, etika penggunaan AI dan hak cipta, ”katanya lagi.
Ujarnya, Sesi bengkel yang diadakan turut memberi peluang kepada peserta untuk memperkasa kemahiran penulisan dan penerbitan, di samping meningkatkan keupayaan menghasilkan karya saintifik yang berkualiti, berintegriti dan memenuhi keperluan penerbitan semasa.
“Penglibatan pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, penerbit dan pemain industri melalui program ini turut menekankan kepentingan gabungan kepakaran dalam bidang sains, teknologi, bahasa dan penerbitan bagi memastikan hasil ilmu dan penyelidikan dapat disampaikan dengan tepat, berwibawa serta mudah difahami oleh masyarakat.
“Kerjasama Nuklear Malaysia dengan DBP turut dizahirkan melalui segmen ‘Nuklear Untuk Rakyat’dalam Majalah Dewan Kosmik, selain penerbitan buku dan ensiklopedia serta usaha memperkaya pengistilahan sains dalam bahasa Melayu,”ujarnya lagi.
Tambahnya, seiring dengan perkembangan pesat istilah sains dan kejuruteraan, penglibatan penulis dalam menghasilkan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu juga perlu diperkukuh agar sentiasa selari dengan perkembangan semasa.
“Bagi Nuklear Malaysia, usaha memperkukuh amalan penulisan dan penerbitan saintifik adalah usaha berterusan yang tidak secara lansung menunjukkan komitmen dalam menyokong aspirasi ‘Nuklear Untuk Rakyat’ (N.U.R.) di bawah Dasar 3 Teknologi Nuklear Negara 2030.
“Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih 500 penerbitan ilmiah setiap tahun yang merangkumi jurnal antarabangsa, prosiding persidangan, buku ilmiah, laporan teknikal dan artikel popular dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
“Penglibatan serta sumbangan kepakaran dan perspektif daripada pelbagai institusi dan organisasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penulisan saintifik dan teknikal yang berkualiti, relevan serta berimpak kepada masyarakat.
“Melalui penulisan dan penerbitan saintifik yang berterusan, hasil penyelidikan dapat dikembangkan daripada ilmu kepada pengetahuan, diterjemahkan kepada inovasi dan seterusnya memberi nilai tambah kepada masyarakat serta pembangunan negara,”tambahnya lagi. – SUARA.TV



