KUALA LUMPUR — Ketua Armada Bersatu Malaysia, Hilman Idham hari ini hadir ke Mahkamah Majistret Jenayah (7) Kuala Lumpur bagi mendengar pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung ucapannya pada program Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, baru-baru ini.
Dalam prosiding itu, Hilman menegaskan pendiriannya untuk tidak mengaku bersalah serta mahu dibicarakan.
“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” katanya di hadapan Majistret.
Beliau diwakili pasukan peguam terdiri daripada Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Afiq Ashraf Nardin, Zolazrai Zolkapli dan Alias Rasman.
Menurut Hilman, pendakwaan terhadap dirinya membuktikan sistem negara semakin rosak.
“Sistem negara telah rosak. Setelah hampir 68 tahun negara ini merdeka, orang yang melawan Akta Hasutan didakwa. Orang yang mempertahankan jalur gemilang juga didakwa.
“Sesungguhnya, pendakwaan pagi ini adalah benih yang akan tumbuh dan membesar. Kebangkitan rakyat akan menumbangkan Kerajaan hipokrit dan zalim,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan itu hanya akan mencetuskan kebangkitan rakyat menentang kerajaan yang disifatkannya sebagai hipokrit dan zalim.



