SHAH ALAM – Tular di media sosial hari ini berhubung sepucuk surat mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN).
Berdasarkan kepala surat berkenaan, jemputan tersebut ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beralamat di Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
Surat yang turut mempunyai tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyatakan kesediaan UMNO dan Pas menerima penyertaan Bersatu ke dalam MN.
“Semoga Tan Sri sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dalam jagaan ALLAH SWT.
“Kami mengambil maklum kesediaan Tan Sri mempertimbangkan penyertaan Bersatu sebagai anggota Muafakat Nasional. Sehubungan dengan itu, dengan sukacitanya mengalu-alukan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.
“Maka dengan ini, Muafakat Nasional menghulurkan jemputan tersebut kepada Tan Sri bagi merealisasi harapan kami di Muafakat Nasional,” menurut surat tersebut.
Dalam satu sidang media pada 30 Julai lepas, Ahmad Zahid mendedahkan, Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk menyertai MN.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan Pas untuk diperhalusi. (Sinar Harian)