KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off pada 20 Jun 2021 bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM seluruh negara.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin ini merupakan inisiatif yang diambil oleh KPM bagi mengatasi isu kekosongan guru yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“KPM telah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

“Graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah Radzi lagi, penggunaan Kluster Mata Pelajaran akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya. Kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Urusan pengambilan khas guru baharu ini telah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Seramai 16,381 orang guru telah dilantik dan ditempatkan di sekolah bawah KPM,” jelasnya.

Kata Radzi, daripada jumlah tersebut, seramai 13,770 orang adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 orang lantikan secara Contract of Service (CoS).

“KPM mengucapkan terima kasih di atas kerjasama SPP dalam menjayakan urusan pengambilan guru one-off ini.

“Manakal khusus bagi negeri Sabah, seramai 1,653 orang guru yang dilantik melalui ambilan one-off merupakan anak kelahiran Sabah yang terdiri daripada 1,498 guru lantikan tetap dan 155 guru lantikan CoS. Daripada 1,653 orang guru yang dilantik, seramai 1,221 guru baharu telah ditempatkan di sekolah negeri Sabah. Ini melibatkan 1,104 guru lantikan tetap dan 117 orang guru lantikan CoS,” kata beliau.