Anwar Bantah BERNAS Monopoli Import Beras, Ronald Pertahan Tindakan

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak menghentikan monopoli konsesi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras yang dikatakan bertentangan dengan dasar sekuriti makanan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang membenarkan BERNAS terus memonopoli import beras namun, tidak membela nasib peladang, petani dan pesawah miskin.

“Tindakan kementerian bertentangan dengan dasar sekuriti makanan. BERNAS diumum mempunyai monopoli import beras, Bernas ini satu syarikat dengan keuntungan ratusan juta ringgit.

“Mengapa tidak boleh bantu petani melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) atau Pertubuhan Peladang, mengapa diteruskan dasar monopoli memberikan peluang kepada orang kaya mengaut keuntungan padahal kita bicara tentang mengurangkan beban kepada rakyat?

“Kenyataan ini harus tegas oleh menteri hentikan monopoli import beras supaya peladang, petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah Anwar, pembangkang bantah keras dasar yang menguntungkan pemodal dalam keadaan rakyat dan pesawah padi susah.

Sementara itu, menjawab hujah Anwar, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bangkit mempertahankan tindakan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi BERNAS sebagai pengimport tunggal beras di negara ini.

Kata beliau, keputusan kerajaan melanjutkan hak BERNAS menjadi pengimport tunggal bertujuan memastikan bekalan beras di Malaysia stabil dan terkawal malah tidak berat sebelah.

Pun begitu, Anwar membidas kenyataan Ronald dengan mengatakan sepatutnya untuk ulasan, kerajaan tidak wajar bertanya kepada ‘tauke besar’ sebaliknya tanya kepada pesawah miskin.