Letak TH Bawah Bank Negara, 26 NGO Bantah Keputusan MOF

- Advertisement -

PETALING JAYA: Sebanyak 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Kementerian Kewangan menggantung keputusan meletakkan Tabung Haji di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut kenyataan bersama NGO-NGO, tindakan itu disifatkan tergesa-gesa dan dibuat tanpa konsultasi awam.

“Keputusan ini seolah-olah tidak peka bagaimana ia boleh mengubah konsep model perniagaan yang diilhamkan oleh pengasas Tabung Haji, sekali gus menafikan peranan institusi itu dalam memperkasa serta membangun ekonomi Muslim.

“Keputusan jemaah menteri juga dilihat bercanggah dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diumumkan sehari sebelum itu bagi mengkaji semula pelan pemulihan Tabung Haji,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut disokong oleh 26 NGO antaranya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Pergerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ).

Justeru, kumpulan NGO berkenaan berpendapat, penetapan Tabung Haji di bawah APKI adalah pramatang dan boleh memprejudiskan siasatan RCI serta meletakkan mandat siasatan tersebut sebagai lemah dan tidak bermakna.

“RCI seharusnya diberikan tempoh yang wajar bagi menyempurnakan siasatannya sebelum apa-apa keputusan penetapan Tabung Haji diumumkan.

“Atas dasar-dasar tersebut, kami menggesa keputusan penetapan Tabung Haji sebagai institusi perbankan Islam digantung dan ditangguh dengan segera sehingga siasatan RCI selesai dan sehingga pandangan semua pihak termasuk pakar dan badan-badan NGO Islam diambil kira,” menurutnya.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji secara menyeluruh yang antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak kerana dikhuatiri akan memberikan kerugian kepada pendeposit sekali gus merosakkan imej kerajaan secara keseluruhan.

Kementerian berkenaan berkata, Jemaah Menteri turut menyenaraikan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM. – UTUSAN ONLINE

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat