Bersatu kemuka notis kepada Johari, minta 6 kerusi Parlimen sokong PM dikosongkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bersatu hari ini mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya, Datuk Dr Ronald Kiandee, selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.

Hal demikian menurut Ronald, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

“Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta sudah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada Khamis.

“Bagi pihak parti, semua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen Jeli; Gua Musang; Bukit Gantang; Kuala Kangsar; Tanjong Karang dan Labuan sudah ditandatangani oleh saya selaku Ketua Whip Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula 24 Jun hingga 18 Julai.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik ‘adalah muktamad dan konklusif’.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen berkenaan kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, semua sedia maklum, semalam suatu precedent atau duluan kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga sudah diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“…yang merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Susulan pengumuman Mohd Amar itu, SPR dalam kenyataannya semalam turut memaklumkan mesyuarat khas PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada Jumaat depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat