PM Harap Gabenor BNM Yang Baharu Berjaya Tingkatkan Kedudukan Kewangan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil.

Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelantikan Shaik Abdul Rasheed ini pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.

“Hari ini saya telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di pejabat.

“Datuk Shaik bakal mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang akan menamatkan khidmat baktinya pada 30 Jun ini. Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil,” kata Anwar dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau juga mengutus penghargaan buat Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh wabak menyerang.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta,” ucap Perdana Menteri.

BNM pada 9 Jun 2023 mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang akan menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.

Abdul Rasheed berkata, pelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan buatnya.

“Saya akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah. Di bawah kepimpinan beliau, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.

“Beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan BNM pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan.

“Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor,” katanya.

Abdul Rasheed mula berkhidmat di BNM pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Beliau juga mempunyai Ijazah Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Saïd Business School, Oxford University.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.

Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa

Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015.

Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat