PH tiada usaha erat silaturahim dengan MCA, cuma diperlukan ketika pilihan raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – MCA menganggap kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim yang meminta parti itu tidak berkempen memburukkan calon kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sebagai tidak berasas.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pendirian partinya tidak terlibat dalam PRK apatah lagi berkempen adalah jelas dan pihak lain tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pendirian MCA.

“Kenyataan Adam Adli tidak berasas dan tidak tepat. Bagi saya, jangan bercakap pasal perpaduan hanya ketika mereka memerlukan kami seperti ketika adanya PRK atau PRN (pilihan raya negeri).

“Jika mereka ikhlas, pastinya sudah wujud pelbagai usaha dan langkah untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama antara parti komponen di semua peringkat,” lapor Utusan pada Isnin.

Kelmarin dalam satu majlis di Johor Bahru, Adam Adli berkata, beliau mahu MCA tidak berkempen dengan memburukkan calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Adam Adli yang juga Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, MCA tidak seharusnya mengeruhkan keadaan selepas parti itu memutuskan tidak terlibat dalam pilihan raya kali ini.

“Kita terima kalau ada kemarahan atau perkara yang belum selesai. Cuma dalam keadaan sekarang, jika tidak mahu bantu kempen, jangan pula memulakan kempen lain yang seolah-olah mengganggu, mencemarkan nama calon dan sebagainya.

“Walaupun PRK ini hanya melibatkan kerusi DUN di Se­langor, namun naratif yang akan dimainkan bersifat nasional. Biasanya kempen politik memang panas kita tidak nafikan, tetapi jangan kita tambah gelora, jangan timbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” kata Adam Adli.

Pada Jumaat minggu lalu, MCA memutuskan tidak akan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ.
Kenyataan MCA timbul dua hari selepas MIC yang juga merupakan parti komponen BN memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, kata Choo Seong, sekiranya ada usaha untuk memperbaiki hubungan antara parti dalam kerajaan, ia sepatutnya dilakukan sebelum atau selepas pilihan raya ini.

“Seeloknya, pihak terlibat tumpukan sepenuh perhatian terhadap kempen kali ini dan bukannya terhadap pendirian MCA. Banyak lagi isu berkepentingan rakyat dan negara perlu diterangkan kepada penduduk Kuala Kubu Baharu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat