KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menjelaskan sama ada nikotin cecair dan vape nikotin kini diharamkan atau masih kekal dalam senarai racun.
Hal ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengecualian bahan itu daripada senarai racun mengikut Akta Racun 1952 pada 2023 sebagai tidak sah.
Laman web CodeBlue melaporkan, persatuan perubatan itu meminta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung isu berkenaan selepas Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu memutuskan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bertindak menyalahi undang-undang apabila mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun mengikut Akta Racun 1952.
Presiden MMA Datuk Dr R Arasu yang juga ahli Lembaga Racun, berkata pihaknya mahu kerajaan menjelaskan secara terperinci bagi mengelak kekeliruan sama ada nikotin cecair masih kekal dalam senarai racun susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membatalkan pengeluarannya pada 2023.
“KKM dan MoF juga perlu menjelaskan sama ada perniagaan vape kini dilarang serta-merta daripada menjual vape nikotin dan sama ada nikotin cecair serta gel yang digunakan untuk rokok elektronik serta vape tidak lagi boleh dikenakan cukai kerana ia kini menjadi produk haram,” katanya seperti dilaporkan CodeBlue.
Dalam analisis sebelum ini, CodeBlue melaporkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan pengeluaran nikotin cecair daripada senarai racun secara tidak langsung mewujudkan larangan terhadap vape nikotin kerana bahan itu kekal dalam senarai racun berjadual dan hanya boleh dibekalkan ahli farmasi atau pengamal perubatan.
Larangan serta-merta itu juga bermakna kerajaan tidak boleh mengutip duti eksais ke atas nikotin cecair kerana kerajaan tidak boleh mengenakan cukai terhadap produk haram.
Sebelum ini, Dr Zaliha mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun bagi membolehkan cukai dikenakan ke atas produk berkenaan, namun tindakan itu kini diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi, memetik BH pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Arasu berkata, sejak Mac 2023, MMA berulang kali mengeluarkan kenyataan membantah keputusan itu.
“Kami memberi amaran bahawa mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun sebelum adanya undang-undang kawalan tembakau adalah tindakan melulu.
“Kami menggesa kerajaan menyenaraikannya semula (senarai racun mengikut Akta Racun 1952). Kami meminta Perdana Menteri membatalkan keputusan itu dan kecewa apabila nasihat kami diabaikan. Rekod kenyataan itu jelas untuk dilihat semua pihak.
“Namun, isu ini lebih besar daripada sekadar keputusan mahkamah. Kes ini mendedahkan corak yang sejak sekian lama dibimbangi MMA iaitu dasar kesihatan dibentuk berdasarkan pertimbangan fiskal dan bukannya bukti perubatan.
“Lembaga Racun memberikan nasihat pakar secara sebulat suara, tetapi ia diketepikan. Mahkamah kini mengesahkan tindakan itu adalah salah,” katanya.
Dr Arasu turut menggesa kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
“Terimalah keputusan ini, jadikan ia pengajaran. Tiada lagi keputusan kesihatan awam pada masa depan yang dibuat semata-mata atas faktor fiskal. Kesihatan anak kita bukan sekadar item dalam bajet,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang kini menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva, berkata KKM akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi meneliti aspek perundangan susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Beliau menerusi hantaran di platform X pada Ahad lalu menegaskan pengawalseliaan dan penguatkuasaan vape serta rokok masih diteruskan seperti biasa mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada pihaknya sebagai responden pertama dalam kes berkenaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.



