Petronas Chemicals rugi RM18 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih RM18 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, berbanding keuntungan bersih RM668 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ia disumbangkan oleh antara lain margin jualan yang lebih rendah, masalah bekalan di Pengerang Petrochemicals Company Sdn Bhd (PPC), kerugian pertukaran asing serta peningkatan kos.

Kumpulan mengekalkan prestasi operasi dengan kadar penggunaan loji sebanyak 94 peratus pada suku dikaji, setara dengan suku keempat 2024.

Pendapatan bagaimanapun meningkat sebanyak tiga peratus suku-ke-suku kepada RM7.7 bilion, dipacu oleh purata harga yang lebih tinggi bagi urea, metanol dan polietilena serta prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen bahan kimia khas.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM892 juta, disokong oleh margin produk yang lebih baik bagi urea, metanol, metil tert-butil eter (MTBE) dan derivatif olefin, di samping pengurangan kos operasi.

Dalam suku dikaji, PCG memaklumkan bahawa segmen olefin dan derivatif (O&D) berjaya menangani gangguan bekalan utiliti yang menjejaskan beberapa loji di Kertih, serta pengurangan pengeluaran di PPC akibat kekurangan bahan mentah.

Isu luaran ini, digabungkan dengan peningkatan harga produk yang terhad dalam keadaan lebihan bekalan industri, menyebabkan pendapatan sukuan segmen O&D menurun sebanyak 4.0 peratus kepada RM3.5 bilion.

Segmen ini melaporkan kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) sebanyak RM43 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada PPC, akibat kadar penggunaan loji yang rendah dan kerugian belum direalisasi daripada penilaian semula hutang dalam mata wang asing.

Segmen baja dan metanol (F&M) mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam jualan dan pendapatan, disokong oleh harga purata produk yang lebih kukuh walaupun jumlah jualan menurun sedikit.

Kekangan bekalan global dan permintaan bermusim yang teguh telah mendorong kenaikan harga sekitar 13 peratus bagi urea dan lima peratus bagi metanol.

Segmen F&M mencatatkan pendapatan sukuan lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion manakala EBITDA meningkat sebanyak 22 peratus suku-ke-suku kepada RM892 juta, didorong oleh margin produk yang bertambah baik,lapor BH pada Selasa.

Mengulas prestasi suku pertama tahun kewangan 2025, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail, berkata: “Ketahanan kami dalam mendepani landskap pasaran yang mencabar menyerlahkan kekuatan portfolio kami yang pelbagai.

“Peningkatan dalam EBITDA mencerminkan usaha berterusan kami dalam kecemerlangan operasi, dengan kadar penggunaan loji yang memberangsangkan dicapai oleh perniagaan komoditi kami, walaupun berdepan gangguan sementara di beberapa loji di Kertih pada Januari 2025,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat