Laporan Tahap Kebebasan Media Malaysia Membimbangkan

- Advertisement -

Oleh: Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin

Baru-baru ini satu badan antarabangsa Reporters Sans Frontières (RSF) atau Reporters Without Boarders telah mengeluarkan senarai indeks kebebasan media yang menunjukkan negara kita berada pada tangga ke 107.

Pada tahun 2023 Malaysia berada pada tangga 73 yang mana ini menunjukkan kita telah jatuh sebanyak 34 tahap dan perkara ini perlu mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi yang seolah-olah tidak peka akan perkembangan kebebasan media di negara ini.

Ini merupakan satu tamparan kepada para pendukung kerajaan Madani kerana sebelum mereka memegang tampuk pemerintahan negara Pakatan Harapan yang menjadi “abang besar” kepada kerajaan perpaduan pada ketika ini lantang mengkritik Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dalam keupayaan kedua-dua koalisi politik tersebut dalam aspek kebebasan media.

Kejatuhan indeks oleh Malaysia yang dinyatakan RSF ini juga mungkin disebabkan tindakan semberono Kementerian Komunikasi pada tahun lepas yang telah menyebabkan berlakunya sekatan terhadap laman-laman berita alternatif seperti MalaysiaNow, Utusan TV, Berita Pertiwi dan blog peribadi mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Selain itu, sikap kementerian tersebut yang begitu galak cuba mengawal media sosial juga amat menjengkelkan sehingga hantaran-hantaran (posting) yang tidak melanggar undang-undang pun mahu disekat, hanya kerana tidak menepati selera parti pemerintah.

Perkara ini dilihat terjadi kepada semua aplikasi media sosial yang terdapat di dalam negara ini termasuk aplikasi X (Twitter), Facebook, Instagram dan juga TikTok.

Sebagai sebuah negara demokrasi, sekatan, tekanan dan pengaruh oleh kerajaan kepada agensi media dan pempengaruh media sosial tidak sepatutnya berlaku.

Media dan rakyat seharusnya diberikan ruang untuk bersuara selagimana tidak menyentuh isu perkauman, institusi DiRaja dan juga agama.

Cubaan untuk mengawal media dan media sosial ini adalah satu langkah dangkal yang sudah pasti telah memburukkan imej negara dan juga menyekat perkembangan demokrasi di Malaysia.

Sikap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga amat tidak profesional dan janggal kerana beliau seolah-olah tidak faham dan mahir dengan jawatannya sebagai Menteri Komunikasi.

Selain menjadi perasmi majlis-majlis atau acara di Kementerian Komunikasi, Fahmi Fadzil perlu sedar bahawa beliau sewajarnya menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat, menyampaikan maklumat sahih mengenai inisiatif kerajaan dan juga membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi pemerintahan negara.

Namun pada ketika ini, Fahmi dilihat lebih cenderung menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan Keadilan dengan memakai gelaran Menteri semata-mata untuk kepentingan Pakatan Harapan dan bukannya sebagai perencana kepada aspirasi komunikasi efektif antara rakyat dan pemerintah.

Dek kerana terlalu menjiwai jawatannya sebagai Ketua Penerangan Keadilan, Kementerian Komunikasi yang diterajuinya langsung tidak memikirkan kebebasan media yang semakin lama semakin merudum dan kurangnya keupayaan untuk kita menjadi sebuah negara demokrasi yang menghargai hak bersuara setiap rakyatnya.

Seruan saya adalah, sewajarnya Fahmi Fadzil sedar diri bahawa beliau tidak layak menyandang jawatan yang dipegangnya sekarang dan sekiranya terdapat sekelumit perasaan malu di dalam diri beliau sewajarnya beliau meletakkan jawatan dan hanya fokus kepada Keadilan sahaja.

Kejatuhan indeks kebebasan media ini merupakan bukti bahawa negara kita semakin lama semakin malap sinarnya.

Apabila sesuatu kementerian itu lebih galak menjadi “lidah parti” berbanding mengutamakan khidmat kepada rakyat, kemungkinan besar suatu hari nanti kita akan menjerumus ke dalam suatu pemerintahan autokratik yang secara terang-terangan menyekat pula kesemua kebebasan yang dinikmati oleh kita pada ketika ini.

Beliau adalah Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN) dan bekas ahli parlimen Ampang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat