Pinda Perlembagaan UMNO suburkan kediktatoran, rencat demokrasi – Tun Abdul Hamid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan UMNO 2022 didakwa menggalakkan kediktatoran dalam UMNO sekali gus mengurangkan amalan demokrasi dalam UMNO,” kata Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Jelas beliau, pindaan Perlembagaan UMNO membuatkan pimpinan UMNO boleh memegang jawatan hampir tiga kali ganda daripada tempoh tiga tahun asal.

Kata Tun Abdul Hamid, akibatnya, akan berkuranglah amalan demokrasi dalam UMNO dan ia akan menjadikan pemimpin-pemimpin UMNO sebagai diktator.

“Selepas dipinda, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ada dua pilihan iaitu tidak lebih daripada 18 bulan atau tidak lebih daripada 6 bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU).

“Perhatikan perkataan “atau” yang digunakan dalam ayat itu. Ertinya, MKT hanya boleh memilih salah satu daripada dua pilihan yang ada itu.
Jika pada tarikh tamatnya tempoh tiga tahun itu, tempoh lima tahun hayat Parlimen itu juga akan tamat tidak lama lagi dan MKT mahu tempoh mereka memegang jawatan dilanjutkan seberapa lama yang boleh, lebih baik MKT tidak menggunakan klausa kedua.

“Ini kerana klausa pertama boleh memberikan mereka 18 bulan tambahan, tidak kira PRU diadakan sebelum tamat tempoh 18 bulan atau tidak,” jelas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Jika dalam keadaan itu mereka menggunakan klausa kedua, pemilihan mesti dibuat dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan yang, besar kemungkinan, adalah kurang daripada 18 bulan, katanya.

“Katakanlah PRU baru sahaja diadakan sebelum tamatnya tempoh tiga tahun itu. Dalam keadaan ini, jika MKT memilih menggunakan klausa pertama, penangguhan hanya selama 18 bulan selepas tarikh tamat tempoh tiga tahun itu.

“Sebaliknya, jika ia memilih klausa kedua, sama ada penangguhan akan lebih atau kurang daripada 18 bulan tertakluk kepada bila PRU berikutnya diadakan. Jika ia diadakan di hujung tempoh lima tahun hayat Parlimen, ia boleh jadi hampir 3 tahun + 5 tahun + 6 bulan = 8 tahun 6 bulan.

“Kita lihat satu senario lagi, iaitu di mana UMNO adalah parti memerintah dan Presiden UMNO adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang kebanyakannya ahli MKT mahu terus memegang jawatan dalam parti seberapa lama yang boleh tanpa pemilihan baru,” terang beliau.

Selain itu, kata Tun Abdul Hamid, MKT boleh menggunakan klausa kedua. Presiden UMNO boleh mengatur bila tarikh pemilihan diadakan tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO.

Ujar beliau sebagai Perdana Menteri beliau boleh pula mengatur tarikh PRU dalam tempoh lima tahun hayat Parlimen itu yang boleh memberi
tempoh paling panjang baginya dan penyokong-penyokongnya memegang jawatan parti.

“Ia boleh jadi hampir lapan tahun enam bulan (3 tahun + 5 tahun + 6 bulan = 8 tahun 6 bulan.)

“Itukah yang dikehendaki olah Presiden, ahli-ahli MKT, penjawat-penjawat UMNO yang menjadi perwakilan dan mengundi meluluskan pindaan itu? Adakah terdapat di antara mereka yang tidak mengetahui akibatnya? Adakah ahli-ahli biasa memahaminya dan mahukan demikian?
Saya tidak faham apa tujuannya dimasukkan kata-kata “yang mana terkemudian”.

“Saya tidak nampak bagaimana ia menjadi relevan. MKT hanya boleh memilih satu daripada dua pilihan itu. Jika MKT memilih klausa pertama, pemilihan perlu dibuat sebelum tamat tempoh 18 bulan. Tarikh untuk pemilihan berikutnya diketahui pada masa penangguhan dibuat lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Abdul Hamid berkata lagi, jika MKT memilih klausa kedua, pemilihan perlulah dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU diadakan. Bila? Tidak diketahui sebab tarikh PRU berikutnya belum diketahui.

“Biar apa pun, tempoh 18 bulan dan enam bulan selepas PRU berikutnya itu tidak berjalan selari kerana MKT cuma boleh pilih salah satu daripada dua pilihan itu pada sesuatu masa. Dari mana datangnya yang mana terkemudian? Tiga perkataan itu adalah superflous (berlebihan),” ulas Tun Abdul Hamid.

RoS perlu minta penjelasan UMNO

Menurut beliau Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu meminta penjelasan daripada UMNO apakah tujuannya memasukkan
perkataan-perkataan itu.

“Jika penjelasan yang memuaskan tidak dapat diberi dan RoS hendak meluluskan juga pindaan itu, perkataan-perkataan itu hendaklah
dipotong.

“Kita tahu bahawa pindaan itu tidak akan berkuatkuasa melainkan setelah ia diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Peruntukan undang-undang mengenainya berbunyi begini, tiadalah sesuatu pertubuhan berdaftar boleh –(a) … (b) meminda aturan-aturannya, dengan tidak terlebih dahulu mendapat kebenaran RoS…”

“Peruntukan ini langsung tidak menyebut apa tujuan mendapat kelulusan itu dan apakah faktor-fakor yang perlu dipertimbangkan sama ada kelulusan hendak diberi atau tidak,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, ditanya oleh wartawan, Ketua Pengarah (Pendaftar) menjelaskan “Kami perlu meneliti pindaan itu dari segi istilah dan terma-terma dalam perlembagaan parti itu, selain meneliti proses Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) termasuk jumlah kehadiran mesyuarat.

Juga katanya…ada banyak perkara perlu diteliti, lebih lagi ini membabitkan terma perundangan berkaitan perlembagaan parti…”

“Penjelasan RoS pun hanya sekadar menyebut untuk meneliti terma dan istilah yang digunakan dan prosedur mesyuarat, dalam kata lain, format, bukan isi. Biar apa pun kita tunggulah keputusan RoS.

“Tetapi, jika pindaan itu diluluskan sekali pun, ia tidak boleh digunakan untuk menangguh tarikh pemilihan sekali lagi untuk melanjutkan tempoh jawatan penjawat-penjawat pada masa ini. Berbuat demikian bererti menggunakan kedua-dua pilihan itu, lepas satu, satu. Itu tidak dibenarkan oleh pindaan itu,” tegas beliau.

Susulan itu Tun Abdul Hamid menyeru pimpinan UMNO untuk bermuhasabah diri.

“Saya sarankan UMNO kembali ke pangkal jalan. Tiga tahun sekali pemilihan sudah cukup panjang. Dalam keadaan yang sangat terkecuali, penangguhan tidak lebih dari enam bulan adalah patut dan memadai.

“Lebih dari itu, apatah lagi seperti pindaan baru ini, ia mengurangkan amalan demokrasi dan menggalakkan kediktatoran dalam
parti.

” Sama ada ia digunakan sedemikian atau tidak bukanlah isunya. Isunya mengapa mengesahkan apa yang sepatutnya menjadi penyalahgunaan kuasa? Soal beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat