KUALA LUMPUR – Pas terus berjuang supaya Islam yang sempurna ditegakkan setinggi-tingginya, bukan memperalatkan atau menunggang agama sepertimana yang dituduh oleh kalangan mereka yang jahil akan agama dan tidak memahami Islam ataupun kalangan agamawan yang berpihak kepada musuh yang sengaja mentafsirkan dengan makna yang salah dan menyesatkan.
Malah kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pas berjuang sehingga ada kalangan ahlinya yang menjadi korban dan gugur syahid oleh pembunuhan, dizalimi sehingga dihumban ke dalam penjara, ditahan pangkatnya walaupun paling layak dalam jawatan kerajaan, dibuang kerja, dinafikan bantuan, dan pelbagai lagi tindakan yang zalim.
“Semua ini disebabkan perjuangannya menegakkan Islam, bukan menunggang Islam yang mudah melompat dan melarikan diri.
“Al-Quran memberikan amaran sebagai iktibar mengenai keburukan adanya ulama jahat yang boleh dipergunakan oleh syaitan dengan kesenangan hidup, sehingga menjadi laksana anjing belaan bagi merosakkan manusia,” kata Hadi.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kesedaran untuk kembali semula kepada Islam berlaku selepas terdedah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang mengambil alih kekuasaan, khususnya setelah kejatuhan Islam pada abad yang lalu oleh musuhnya. Mereka menjadikan gerakan Islam sebagai musuh pertama yang perlu diganyang.
Setelah kegagalan senjata Islamofobia bagi memburukkan wajah Islam, maka semua parti Islam yang berjuang untuk menegakkan semula Islam termasuk Pas menjadi sasaran, antaranya dengan meletakkan pelbagai jenama yang buruk seperti pelampau Islam atau penunggang agama. Mereka bertopengkan simpati kepada Islam.
“Sebenarnya, Pas berpolitik Islam yang tidak berpisah daripadanya konsep al-din yang menggabungkan aqidah, syariah, dan akhlak, dengan meletakkan kedudukan Islam dijunjung tinggi melalui perjuangan yang penuh pengorbanan harta, jiwa, dan raga.
“Perlembagaan Pas menyatakan hukum Islam adalah paling tinggi dan haram bagi Pas menerima yang lain daripada Islam. Perkara ini tidak dinyatakan oleh semua parti yang lain.
“Para ulama Pas bukan waris yang mengkhianati pusaka para anbiya.
“Para ulama dan ilmuwan Islam menunaikan perintah Allah yang menetapkan kewajipan adanya kumpulan Islam yang menyambung perjuangan para anbiya pada zaman tidak ada lagi para anbiya selepas kewafatan Rasulullah SAW,” katanya.
Hadi menegaskan, Islam menolak kalangan yang menafikan hubungan politik negara dengan akidah.
“Sedarkah mereka bahawa menghina perkara sunat juga boleh merosakkan akidah mereka, walaupun perkara tersebut di luar ilmu akidah?
“Pas ialah mata rantai kumpulan perjuangan Islam yang tidak putus, walaupun pernah diharamkan berkali-kali pada zaman penjajahan dan selepasnya.
“Pas bukannya penunggang agama yang bermudah-mudah terjun bagi menyelamatkan diri.
“Pas terus berjuang melalui kebebasan bersuara menerusi demokrasi pilihan raya tanpa mengira kalah dan menang serta rebah dan bangun. Pas tetap kembali menunaikan kewajipan beragama Islam sehingga beberapa generasi yang sentiasa bersambung, bukan memperalatkan Islam.
“Kewajipan memuliakan dan meninggikan Islam diwajibkan kepada semua penganut dan kumpulan Islam yang setia, bukan hanya menjadi kewajipan Pas sahaja.
“Kewajipan mempertahankannya juga menjadi kewajipan semua umat Islam daripada kalangan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk para ulama’ yang berada dalam kerajaan mahupun luar kerajaan,” kata beliau.
Jelas Hadi lagi, perjuangan PAS bagi mendapat kuasa politik demi mendaulatkan Islam yang berkuasa memerintah, menjadikan Pas sasaran kepada semua kumpulan yang anti-Islam.
“Apa yang menakutkan mereka ialah kebangkitan semula Islam dalam kalangan mereka yang berpendidikan Barat yang asalnya dirancang bagi menentang Islam, tiba-tiba bangkit melawan tuannya.
“Antara mereka ialah Prof. Ahmad Ibrahim RH, salah seorang pengasas akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bekas Peguam Negara Singapura, dan mantan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat pada tahun 50-an ketika Pas masih berpusat di Singapura.
“Beliau yang merupakan seorang tokoh ilmuwan dalam bidang perundangan yang terkenal pernah mencadangkan dalam satu seminar perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1976 — yang turut disokong oleh Prof. Nik Abdul Rashid, Hakim Tan Sri Harun Hashim, dan Tun Salleh Abas RH —, supaya meletakkan satu peruntukan yang tegas dalam Perlembagaan Persekutuan yang membatalkan segala undang-undang yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak cukup dengan hanya menyebut Islam sebagai agama negara atau agama rasmi.
“Islam menetapkan prinsip ibadah kepada pihak yang memerintah dengan peranan para ulama’ mujtahid yang memelihara hukum tertinggi al-Quran dan al-Sunnah. Islam juga meletakkan para pentadbir dan ketua negara yang dinamakan khalifah, amir, imam, sultan, atau raja berada bawah perlembagaan.
“Peranan parti Islam ialah memimpin umat selepas ketiadaan kerajaan Islam yang berkuasa. Maka, Pas menegaskan dalam Fasal 7(1) Perlembagaan Pas, iaitu meletakkan Islam adalah yang tertinggi dan PAS memperjuangkannya melalui negeri dan persekutuan dengan meletakkan kedudukan Islam sebagai agama yang wajib dimuliakan.
“Apabila Pas berkuasa di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, maka konsep tersebut dilaksanakan. Di Terengganu khususnya, Pas berusaha mengembalikan kedudukan Islam sebagaimana dalam Itqan al-Muluk bi Ta‘dil al-Suluk (perlembagaan Terengganu sebelum berlakunya penjajahan) dan keputusannya ditandatangani dengan dukungan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin,” ujarnya.
Pada peringkat Persekutuan pula, Pas telah beberapa kali membawa usul persendirian supaya meminda Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kuasa negeri melaksanakan syariat dengan sempurna, kata Hadi.



