CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengeluarkan kenyataan keras terhadap Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, susulan dakwaan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dianggap sebagai liabiliti terbesar kepada gabungan tersebut.
Dalam kenyataannya, Akmal menyifatkan pandangan Tan sebagai tidak membina serta gagal memberi manfaat kepada parti dan gabungan.
“Kalau rasa pengerusi BN adalah liabiliti, lebih baik cadangkan kepada MCA untuk keluar sahaja daripada BN. Jika MCA tidak bersetuju, kamu sahaja yang keluar dari MCA. Barulah cakap serupa bikin,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sumbangan Tan kepada parti, selain mengungkit prestasi pilihan raya yang disifatkan lemah.
“Ini sembang tapi kamu sendiri pun tidak memberi manfaat kepada parti. Kamu bertanding pun kalah dengan majoriti besar, sembang kencanglah,” ujarnya lagi.
Akmal juga menyarankan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, agar menegur Tan supaya lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan.
“Kepada Presiden MCA, tolong bagi cermin pada dia nanti, supaya dia sedar siapa liabiliti sebenar,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada pendirian Tan Teik Cheng yang sebelum ini menyatakan MCA menganggap Ahmad Zahid sebagai beban utama kepada BN.



