Rakan bantu biaya konsert Pretty Ugly

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanpa teman yang bermurah hati menghulurkan wang, mana mungkin band popular, Pretty Ugly mampu mementaskan konsert bagi meraikan ulang tahun ke-21 kumpulan itu.

Tidak hairanlah, kemuliaan hati rakan mengundang hiba dalam hati anggota kumpulan yang dibarisi Neves selaku vokalis, Jay (gitar) dan Juad (bes).

Ditemui pada majlis sidang media mengumumkan Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary di ibu negara, baru-baru ini, Neves berkata, konsert itu dirancang selepas melihat banyak band dan penyanyi mengadakan persembahan terbuka, akhir-akhir ini.

“Disebabkan tiada pihak sudi menganjurkan konsert ini, kami nekad cari modal sendiri.

“Apa yang membuatkan kami sebak apabila melihat kemuliaan hati rakan-rakan yang sanggup mendahulukan wang semata-mata ingin melihat konsert ini direalisasikan.

“Pretty Ugly sudah lebih 20 tahun dalam industri tetapi kami belum pernah mengadakan konsert solo. Jika tidak dianjurkan sekarang, kami tidak pasti bila dapat melakukannya.

“Kami bertuah kerana selain bantuan kewangan, ada rakan-rakan bermurah hati menaja barangan seperti sistem bunyi, dram, gitar dan sebagainya. Betul-betul tak sangka,” katanya.

Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary yang dianjur syarikat milik Neves, CD Bagasi Music, akan dipentaskan di The Paddock, Kelana Jaya pada 25 Februari depan.

Menghitung hari untuk acara besar itu, anggota Pretty Ugly gigih membuat persembahan dengan menjalani latihan.

Pada konsert yang dijangka berlangsung dua jam itu, Pretty Ugly bakal mendendangkan 21 lagu daripada lima album iaitu Abstrak Versi Fantasi yang dilancarkan pada 2001, Transformasi Ke Stereo (2003), Rockhaloic (2006), Darabkan Sejuta (2011) dan Pretty Ugly 21 (2021)

 

Pretty Ugly turut mengundang kumpulan ‘indie’, Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik dalam dalam Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary. - NSTP/Aziah Azmee
Pretty Ugly turut mengundang kumpulan ‘indie’, Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik dalam dalam Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary. – NSTP/Aziah Azmee

 

Antara lagu yang bakal didendangkan adalah Diari Seorang Lelaki, Bidadari, Francis Ford Coppola, En Ronald Moore serta banyak lagi.

Bercerita mengenai tahap stamina anggota band, Neves, 49, tidak bimbang kerana aktif bersukan dan gemar mendaki gunung. Aktiviti itu cukup membantunya mengekalkan stamina di pentas.

“Saya tidak bimbang akan ‘pancit’ kerana mereka yang kenal tahu saya sangat aktif.

“Jika Datuk Awie dan Datuk Amy Search yang lebih berusia daripada saya mampu memberi persembahan bertenaga, saya yakin mampu menghiburkan peminat yang sudah lama menantikan konsert kami,” katanya.

Neves berkata, band itu mahu bergerak lebih aktif selepas konsert kerana ramai menyangka mereka tidak lagi bermain muzik.

“Sebenarnya, kami ada menghasilkan single terbaharu dan turut memenuhi undangan persembahan. Namun, mungkin disebabkan Pretty Ugly jarang muncul dalam media seperti televisyen (TV) dan radio, ramai sangka kami tidak aktif lagi,” katanya.

Neves tidak menafikan bukan mudah bagi mereka menembusi stesen radio.

“Kami percaya bukan Pretty Ugly sahaja yang menghadapi masalah ini. Kebanyakan band termasuk mereka yang ‘otai’ juga berdepan nasib sama. Stesen radio lebih gemarkan lagu popular seperti di platform TikTok,” katanya.

Neves berkata, mereka mahu bergerak sendiri dan membuat lebih banyak persembahan bersama band ‘indie’ lain.

Dua kumpulan ‘indie’ iaitu Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik turut membuat persembahan pada konsert Pretty Ugly

Maklumat penjualan tiket termasuk harga boleh didapati dengan melayari www.prettyugly.ubertickets.asia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat