Momentum Kugiran Masdo

- Advertisement -

Kemunculan pertama Kugiran Masdo dalam arus muzik perdana menerusi lagu Bunga pada 2016 berjaya diterima baik peminat.

Bermula dari situ, kumpulan dianggotai Ali Sariah (penyanyi), Putuceri (bass), Azham Ahmad (dram) dan Asmawi (gitar) ini tidak pernah gagal dalam mempertaruhkan lagu berasaskan muzik pop klasik era 1960-an yang digubah mengikut cita rasa masa kini.

Sentuhan dengan ‘trademark’ ini ternyata menjadi apabila lagu hits mereka seperti Dinda, Janji Manis dan Teruna Dan Dara berjaya menjadi fenomena dan tular di media sosial sehingga ke Indonesia.

Menurut Ali, apa yang dilalui amat membanggakan dan mencetuskan fenomena sehingga mereka berjaya melebarkan sayap ke negara jiran.

“Syukur, kami berjaya terbang lebih jauh dalam menakluki persada muzik di rantau Nusantara ini sehingga pernah diundang ke Indonesia untuk menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan Bandung.

“Malah, lebih dari itu, kami menutup kalendar seni pada 2022 dengan cemerlang apabila bergabung dengan band ternama Indonesia, The Changcuters bagi menjayakan konsert Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Disember tahun lalu,” katanya.

Momentum Kugiran Masdo pada 2023 kini diteruskan lagi dengan pelancaran single terbaharu berjudul Inilah Jalannya.

Lagu ciptaan penyanyi Hujan, Noh Salleh yang sarat dengan estetika muzik retro itu menceritakan mengenai detik manis percintaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata, tetapi diluahkan hanya dengan berbalas pandangan dan senyuman dengan seseorang yang diminati.

“Kami berasa sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan lagu ciptaan Noh. Dia pakar dalam mencipta melodi dan seni kata yang menangkap telinga.

“Sejak kami perdengarkan lagu ini kepada peminat dalam konsert di Zepp KL tempoh hari, mereka sudah memberikan sambutan yang hangat dan tidak sabar menantikan lagu ini.

“Kugiran Masdo kini menjalinkan kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia yang dilihat mampu menaikkan lagi portfolio muzik kami,” katanya.

Ia adalah single pertama dari tiga lagu yang bakal diterbitkan dalam kerjasama ini dan mereka percaya kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia ini mampu membawa Kugiran Masdo ke aras yang lebih tinggi dan membuka peluang lebih besar untuk mereka di masa akan datang.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat