Dalam industri makanan halal yang semakin berkembang dan kompetitif, keupayaan untuk berinovasi serta mematuhi piawaian global menjadi penentu kejayaan sesebuah jenama. Aris Burger, sebuah syarikat Bumiputera di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA), membuktikan keupayaan tersebut menerusi pelancaran produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger yang bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna moden, malah mengangkat standard produk makanan halal keluaran PKS tempatan.
Pelancaran rasmi RTE Aris Burger berlangsung bersempena Expo Usahawan HIPEX yang diadakan di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda, Kuala Lumpur. Majlis dirasmikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki, dan Expo anjuran Usahawan Industri KIM ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. Acara ini menjadi platform penting menghimpunkan usahawan bimbingan MARA, pemain industri serta orang ramai bagi memperkenalkan inovasi produk tempatan dan memperkukuh jaringan perniagaan. Majlis pelancaran tersebut turut menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan Aris Burger sebagai jenama yang semakin matang dan bersedia untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aris Burger, Datuk Haji Haris bin Embong, RTE Aris Burger merupakan produk seumpamanya yang pertama dihasilkan oleh usahawan Bumiputera PKS di bawah bimbingan MARA. Walaupun produk burger RTE telah lama berada di pasaran antarabangsa, penghasilan produk ini di Malaysia melibatkan pendekatan menyeluruh yang menitikberatkan aspek penyelidikan, keselamatan makanan, jaminan halal serta kesediaan untuk menembusi pasaran global.
Pembangunan produk ini mengambil masa kira-kira enam bulan bermula Oktober tahun lalu, melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan dalaman yang intensif serta kerjasama strategik bersama Fakulti Pemprosesan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Kajian saintifik merangkumi ujian formulasi, penilaian deria melalui blind test pengguna, analisis nutrisi serta kajian jangka hayat produk. Hasil kajian menunjukkan produk ini mampu bertahan sehingga 17 bulan dalam keadaan beku, namun Aris Burger secara bertanggungjawab mengisytiharkan tempoh simpanan selama 12 bulan pada suhu -18 darjah Celsius. Dalam keadaan chiller pada suhu antara 4 hingga 5 darjah Celsius, produk ini mampu bertahan sehingga sebulan, menjadikannya fleksibel untuk pelbagai saluran runcit.
Kekuatan utama RTE Aris Burger turut terletak pada pematuhan pensijilan yang komprehensif. Produk ini telah memperoleh pensijilan Halal JAKIM dalam tempoh kurang dua bulan, selain pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, GMP, HACCP serta VHM daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kesemua pensijilan ini merupakan keperluan mandatori bagi eksport produk makanan, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan Aris Burger untuk menembusi pasaran antarabangsa. Malah, syarikat telah menerima permintaan dari beberapa negara termasuk Turki dan Dubai, namun ketika ini memberi keutamaan kepada pemenuhan pasaran domestik yang semakin meningkat.
Dari segi penawaran produk, RTE Aris Burger kini hadir dalam empat variasi utama melibatkan burger ayam dan daging, dengan pilihan bun biasa dan bun lembut yang dibangunkan sendiri melalui keupayaan pengilangan dan R&D dalaman. Sebagai pengilang, Aris Burger mempunyai kelebihan untuk mengawal keseluruhan rantaian pengeluaran, membolehkan penambahbaikan produk dilakukan secara berterusan mengikut keperluan pasaran.
Selain kategori RTE, Aris Burger turut memiliki rangkaian produk sejuk beku yang telah berada di pasaran sejak 2018, termasuk burger ayam, daging dan kambing dalam pelbagai saiz, serta produk sampingan seperti bebola daging, popcorn ayam, ayam kisar, daging kisar dan oblong. Produk-produk ini kini boleh didapati di hampir semua pasar raya utama di seluruh negara, mencerminkan kekuatan jenama Aris Burger dalam pasaran runcit tempatan.
Sambutan pasaran terhadap RTE Aris Burger disifatkan amat memberangsangkan. Produk ini telah memasuki beberapa pasar raya terkemuka serta rangkaian kedai serbaneka utama, termasuk melalui kontrak pembekalan dengan 7-Eleven bagi produk jenama tersendiri yang dikilangkan oleh Aris Burger. Dengan harga runcit sekitar RM7.90, produk ini dilihat kompetitif dan mampu diakses oleh pelbagai lapisan pengguna. Maklum balas pengguna yang positif serta permintaan tinggi turut menyebabkan situasi kehabisan stok berulang kali.
Ketika ini, kilang sedia ada mampu menghasilkan kira-kira 150,000 unit RTE burger sebulan bagi satu syif. Bagi menyokong pertumbuhan permintaan, Aris Burger telah memperoleh sebuah kilang baru yang kini dalam proses kelulusan pihak berkuasa tempatan dan kerja-kerja naik taraf. Kilang baharu ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri dan berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga tujuh ke sepuluh kali ganda melalui penggunaan teknologi automasi yang lebih tinggi.
Sebagai usahawan Bumiputera di bawah bimbingan MARA, Aris Burger turut menerima sokongan menyeluruh merangkumi fasiliti pengeluaran, pembangunan kapasiti serta kelulusan operasi pelbagai syif. Sokongan ini membolehkan syarikat beroperasi secara lebih efisien dan bersedia memenuhi permintaan pasaran berskala besar, termasuk eksport pada masa hadapan.
Lebih daripada sekadar pengembangan produk, Aris Burger kini berada pada landasan strategik untuk berkembang sebagai sebuah syarikat korporat berdaya saing. Syarikat ini sedang melalui proses penstrukturan dan penyediaan dokumentasi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, satu aspirasi yang mencerminkan tahap kematangan serta visi jangka panjang syarikat Bumiputera dalam industri makanan halal.
Dengan permintaan global terhadap produk halal yang terus meningkat, RTE Aris Burger bukan sekadar memenuhi keperluan makanan segera pengguna moden, tetapi turut melambangkan keupayaan PKS Bumiputera Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa secara profesional dan berdaya tahan.



