Menjual Nama Binatang Untuk Mengherdik Kerajaan

- Advertisement -

Pandemik Covid-19 menjejaskan semua pihak sama ada kerajaan, ahli perniagaan, pekerja dan rakyat biasa. Kerajaan tidak lagi mempunyai pendapatan yang banyak, manakala aktiviti ekonomi yang makin meleset menjejaskan pendapatan syarikat dan pekerja.

Apabila kesukaran berpanjangan manusia akan mula saling menunding jari menyalahkan antara satu sama lain. Dan orang seperti mana coretan Faisal Tehrani akan mengambil kesempatan mengadu-domba seperti dalam tulisannya “Binatang di zoo mengumpat kerajaan“.

Payah berbicara dengan Faisal yang berselindung di sebalik binatang untuk memberi fakta separuh benar dan sinikal kerana membenci kerajaan.

Namun Faisal sentiasa demikian sifatnya dari zaman muda sehinggalah menjadi dewasa.

Dana Kerajaan Untuk Zoo Di Seluruh Negara

Zoo Negara dan zoo-zoo lain tidak terkecuali berhadapan masalah kewangan akibat kemurungan aktiviti ekonomi negara dalam zaman pandemik Covid-19.

Perintah kawalan pergerakan dan kebimbangan terhadap pandemik Covid-19 telah menyebabkan semua zoo-zoo dalam negara ini berhadapan masalah kewangan bagi membayar gaji dan menyediakan makanan kepada binatang.

Justeru pada Mac lalu kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM10.2 juta bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada premis Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) di seluruh negara yang terjejas. Ada 21 buah ZPT yang telah memohon bantuan ini.

Selain itu semua ZPT ini menerima 15 peratus potongan bil elektrik bulanan selama enam bulan dan 15 tan barang sumbangan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) termasuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah, KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) melalui Jabatan Perhilitan juga telah memberi RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada Jun lalu.

Zoo kutip derma bukan bermakna Kerajaan tidak prihatin

Apabila Zoo Negara merayu sumbangan orang ramai untuk menanggung beban makanan haiwan ia bukan bermakna kerajaan mengabaikan tanggungjawab sosialnya.

Ini adalah cara dan kaedah pengurusan Zoo Negara yang menggabungkan aktiviti komersial (seperti jualan tiket, sewa gerai, tajaan korporat), bantuan kerajaan dan sumbangan orang ramai.

Ramai yang tidak tahu walaupun zoo itu bernama Zoo Negara ia bukan milik kerajaan. Ia dikendalikan oleh Malaysian Zoological Society, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi secara komersial.

Zoo Negara yang dibuka pada 14 November 1963 kini mempunyai lebih 5137 haiwan merangkumi 476 spesis mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan, mempunyai kos pengurusan sekitar RM1.2 juta sebulan. Kira-kira RM850,000 untuk membayar gaji kakitangan, RM350,000 (makanan), RM140,000 (bil elektrik) dan RM40,000 (bil air).

Sudah tentu tanpa jualan tiket dan tajaan komersial, Zoo terpaksa merayu derma dan sumbangan orang ramai untuk menampung keperluan makanan haiwan mereka.

Namun ini bukan pula bermakna jika tidak kerana Ebit Lew datang membawa membawa 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan dan sayuran, maka semua binatang ini akan mati kelaparan.

Sebaliknya dengan sumbangan ini Zoo Negara dapat menjimat dana kecemasan mereka bagi masa akan datang. Jika sesiapa mahu menyumbang lagi memang dialu-alukan.

Ebit Lew menulis “Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana. Sekarang dah banyak bulan pihak Zoo Negara tiada langsung pendapatan semenjak awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Mereka sangat kekurangan dana. Saya tahu tengah hari tadi. Petang ini terus bawa 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan dan sayuran.”

Pada hemat saya tidak benar Zoo Negara tiada langsung pendapatan kerana selain menerima sumbangan kerajaan mereka juga menerima derma orang ramai. Dan benar mereka kekurangan dana, cuma belum sampai ke tahap haiwan itu mati kelaparan.

Jika berlaku kelaparan kerajaan pasti mengambil tindakan membekalkannya. Namun selagi Zoo Negara mempunyai dana dan sumbangan, kerajaan juga punya komitmen lain untuk diuruskan.

Malah Ebit Lew bukan orang pertama yang datang menderma makanan untuk haiwan di Zoo Negara.

Misalnya pada April lalu, Utusan Borneo melaporkan kenyataan Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli bahawa hasil derma orang ramai pada Mac 2020, Zoo Negara hanya menggunakan sedikit kos bagi perbelanjaan mereka pada April 2020.

“Makanan untuk bulan ini (April 2020) kalau ikut kos kita RM350,000 sebulan, (tetapi Zoo Negara) belanja RM50,000 sahaja. RM300,000 sumbangan seperti sayur, manakala daging pula sebanyak 2.5 tan. Maksudnya jimat, kita tak payah bayar, dan kita harap Mei akan berterusanlah. Untuk April memang dah cukup dah 4.5 tan ayam dan daging.”

Cuma kerana penderma lain tidak seperti Ebit Liew yang punya ramai pengikut bermelankolik dan bersyahdu di Facebook, maka ia tidak menjadi isu besar.

Apa yang Ebiet Liew lakukan juga bukan satu kesalahan dan berniat jahat. Tentulah dengan catatan Ebiet di Facebook tersebut beliau akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menderma kepada Zoo Negara. Ini strategi pemasaran yang sangat bagus.

Cuma seorang penulis terkenal seperti Faisal Tehrani tidak sewajarnya memberi sudut perspektif yang negatif seolah-olah kerajaan gagal membantu dan tidak peduli. Tampak beliau mahu membakar sentimen negatif rakyat untuk menyalahkan Menteri.

Dalam zaman sukar ini, kerajaan, NGO dan mereka yang kaya berganding bahu untuk membantu pihak yang memerlukan bantuan. Malangnya, ada kumpulan manusia seperti Faisal yang tidak bertanggungjawab melaga-lagakan sesama mereka yang memberi bantuan ini.

Lebih menyedihkan dalam zaman musibah ini, ada penulis sanggup berbuat apa sahaja termasuk berselindung di belakang binatang untuk memburukkan orang lain.

Apa kebaikan orang seperti ini kepada masyarakat?

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat