CYBERJAYA – Semua wakil rakyat PAS disaran dan diingatkan supaya menjaga tingkah laku dan nama baik jemaah parti agar tidak membebankan ahli bawahannya untuk ‘menjawab’ semula kepada rakyat.
Memetik laporan FMT, perwakilan Dewan Pemuda PAS Johor, Mohd Azlan Alias menegaskan Ahli Parlimen dan Adun daripada parti berkenaan sepatutnya menjadi contoh serta ikutan ahli.
“Jangan membebankan orang bawah, ahli nak jawab kepada orang awam terhadap tindakan YB yang telah pun melanggar etika jemaah
“Keluarkan kata-kata baik, sebab yang melihat itu bukan semuanya ahli PAS, tetapi rakyat Malaysia yang sedang menantikan ingin melihat siapakah yang mampu untuk diberikan kepercayaan memerintah negara Malaysia,” katanya, semasa perbahasan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS, di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, portal Utusan melaporkan perwakilan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Arr Rahman Mohamed Zakaria mengingatkan kepemimpinan parti serta Perikatan Nasional (PN) supaya meletakkan calon Melayu pada kawasan majoriti Melayu di negeri itu.
“Kita lihat apa yang berlaku baru-baru ini (pilihan raya negeri) di Pulau Pinang yang mana ada calon bukan Melayu diletakkan di satu Dewan Undangan Negeri (DUN). Pemuda Pas Pulau Pinang tidak berpuas hati lantas membantah keputusan berkenaan.
“Malah, ahli Pemuda Pas Pulau Pinang yang mempunyai jawatan dalam PN Pulau Pinang meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap keputusan terbabit,” katanya.
Pada PRN lalu, berlaku pertikaian ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos lalu apabila Pas negeri itu membantah Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bertanding di DUN Bayan Lepas.