Dari LIVE streamer kepada Founder, kisah Pakcik Chin Swee membina kejayaan KamiSempoi

Tidak semua kejayaan bermula dengan sebuah rancangan yang lengkap. Ada yang bermula dengan keberanian untuk mencuba sesuatu yang ketika itu belum tentu dipandang serius oleh orang lain. Begitulah perjalanan To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee ketika beliau mula mengenali dunia TikTok pada 2021.

Pada waktu itu, TikTok masih dianggap sebagai platform hiburan yang santai dan bagi sesetengah orang, membuat kandungan di TikTok bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun Pakcik Chin Swee melihat ruang yang berbeza. Di sebalik video pendek, LIVE dan kandungan yang menghiburkan, beliau melihat sebuah ruang yang mampu membuka peluang kepada orang biasa untuk membina nama, membentuk komuniti dan menjadikan kemahiran mereka sebagai sumber pendapatan.

Pakcik Chin Swee sendiri tidak terus bermula sebagai seorang pengasas agensi. Beliau terlebih dahulu melalui pengalaman sebagai pencipta kandungan dan LIVE streamer. Kandungan awalnya berkait dengan kecergasan dan aktiviti bersukan sebelum beliau membawa minat memasak ke dalam LIVE. Apa yang pada mulanya dilakukan sekadar untuk mencuba akhirnya berkembang dengan pantas apabila kandungan tersebut mula mendapat perhatian pengguna TikTok.

Dalam tempoh kira-kira dua bulan, namanya mula dikenali dan pencapaiannya sebagai LIVE streamer membawa beliau ke kedudukan antara top earner TikTok global pada sekitar Ogos hingga Oktober 2021. Pengalaman itulah yang kemudian mengubah cara beliau melihat TikTok. Daripada sekadar menggunakan platform tersebut untuk dirinya sendiri, beliau mula tertanya-tanya bagaimana peluang yang sama boleh diberikan kepada orang lain.

Di situlah sebenarnya asas kepada kejayaan KamiSempoi International Agency (KSIA) mula dibentuk. Pakcik Chin Swee tidak membina agensi tersebut semata-mata kerana mahu mempunyai sebuah perniagaan sendiri, tetapi kerana beliau sudah merasai sendiri bagaimana sebuah platform digital boleh mengubah perjalanan seseorang apabila digunakan dengan betul. Beliau melihat ramai individu mempunyai bakat tetapi tidak mempunyai arah, ada yang berani muncul di hadapan kamera tetapi tidak tahu bagaimana mahu membina komuniti, manakala ada pula yang langsung tidak mempunyai pengalaman tetapi sebenarnya mempunyai potensi untuk berkembang.

Keluarga KamiSempoi Klik pada gambar

Bagi Pakcik Chin Swee, semua itu boleh dipelajari sekiranya seseorang diberikan ruang, bimbingan dan peluang yang betul. Maka KamiSempoi dibangunkan sebagai sebuah tempat untuk melahirkan pencipta kandungan dan LIVE streamer, bukan hanya sebagai individu yang melakukan LIVE, tetapi sebagai personaliti digital yang mampu membina identiti dan perjalanan mereka sendiri.

Nama KamiSempoi sendiri cukup dekat dengan falsafah Pakcik Chin Swee dalam membina komuniti tersebut. Ketika beliau mula menggunakan TikTok, beliau merasakan platform itu memberikan kebebasan untuk menjadi dirinya sendiri. Tidak perlu terlalu mengejar imej tertentu atau cuba menjadi orang lain semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

Daripada pengalaman itu lahir satu budaya yang kemudian menjadi sebahagian daripada identiti KamiSempoi, iaitu santai, terbuka dan menjadi diri sendiri. Namun di sebalik perkataan “sempoi” itu terdapat satu perkara yang cukup serius, iaitu usaha untuk membangunkan manusia. Pakcik Chin Swee percaya seseorang boleh menjadi santai dalam cara berkomunikasi, tetapi tetap perlu mempunyai disiplin dan kesungguhan apabila mahu membina kejayaan.

Selepas beberapa tahun bergerak dalam industri, kejayaan KamiSempoi mula diterjemahkan melalui pencapaian yang lebih besar. Agensi tersebut berjaya berada dalam kelompok agensi TikTok teratas di Asia Tenggara dan pernah menduduki kedudukan nombor dua di ASEAN. Pencapaian itu turut membawa Pakcik Chin Swee ke pentas TikTok Summit untuk berkongsi mengenai perjalanan dan pencapaian yang telah dicapai.

Namun bagi seorang founder, kedudukan dalam ranking bukan satu-satunya ukuran kejayaan. Bagi Pakcik Chin Swee, pencapaian yang lebih bermakna ialah apabila individu yang datang kepadanya tanpa pengalaman akhirnya mampu membina nama sendiri. Daripada tidak dikenali, mereka mula mempunyai komuniti. Daripada hanya mencuba LIVE, mereka mula mempunyai personal branding. Dan daripada sekadar mencari peluang, mereka mula mempunyai keyakinan untuk membina sesuatu yang lebih besar dalam kehidupan.

Membangunkan manusia bagaimanapun bukan tugas yang mudah. Dalam perniagaan seperti agensi LIVE, hubungan antara founder, pengurusan dan host bukan sekadar bergantung kepada angka atau prestasi. Ada kepercayaan yang perlu dibina, ada masa yang perlu diluangkan dan ada proses panjang untuk melihat seseorang berkembang. Pakcik Chin Swee melalui pengalaman apabila individu yang dibimbing dari awal memilih untuk meninggalkan KamiSempoi selepas mereka mula mencapai kejayaan.

Ada yang pergi untuk mencuba perjalanan di tempat lain dan ada juga yang akhirnya kembali. Pengalaman tersebut mengajar beliau bahawa seseorang mempunyai hak untuk menentukan jalan hidup mereka sendiri. Dalam membina sebuah organisasi yang besar, tidak semua orang akan kekal sehingga penghujung perjalanan, tetapi apa yang pernah dipelajari dan dibina bersama tetap menjadi sebahagian daripada pengalaman yang membentuk organisasi tersebut.

Cabaran KamiSempoi juga datang daripada perubahan yang berlaku dalam industri TikTok itu sendiri. Polisi platform berubah dari semasa ke semasa, sistem pembayaran dan struktur industri turut mengalami perubahan, menyebabkan agensi perlu sentiasa menyesuaikan diri. Apa yang berkesan pada tahun sebelumnya tidak semestinya mampu memberikan hasil yang sama pada tahun berikutnya.

Dalam keadaan tersebut, kemampuan untuk bertahan menjadi sama penting dengan kemampuan untuk berkembang. Pakcik Chin Swee memahami bahawa sebuah agensi tidak boleh hanya bergantung kepada kejayaan masa lalu. Jika mahu terus bergerak, strategi perlu berubah, pengurusan perlu diperbaiki dan para host perlu terus diberikan ilmu supaya mereka tidak ketinggalan dalam perubahan yang berlaku.

Di sebalik perkembangan tersebut, Pakcik Chin Swee sendiri turut melalui fasa yang sangat mencabar. Penghujung tahun lalu menjadi antara tempoh paling sukar apabila beliau mengalami masalah kesihatan sehingga perlu melalui tempoh sakit selama kira-kira empat bulan. Pada masa yang sama, tekanan menguruskan organisasi dan pengalaman berdepan dengan individu yang meninggalkan agensi turut memberikan kesan kepada dirinya. Beliau mengakui pernah sampai ke satu tahap mahu bersara dan menjual KamiSempoi.

Namun keputusan itu akhirnya tidak diteruskan. Bukan kerana cabaran tiba-tiba hilang, tetapi kerana sepanjang perjalanan tersebut beliau sudah melihat KamiSempoi berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri. Komuniti yang dibina selama bertahun-tahun sudah mempunyai ribuan individu yang sedang belajar, bekerja dan membina kehidupan masing-masing. Pada ketika itu, tanggungjawab sebagai founder bukan lagi sekadar memastikan sebuah syarikat terus hidup, tetapi memastikan sebuah ekosistem yang telah dibina dapat terus berkembang.

Itulah antara perkara yang membezakan perjalanan KamiSempoi daripada sebuah perniagaan biasa. Pakcik Chin Swee tidak hanya melihat creator sebagai individu yang perlu menghasilkan angka, tetapi sebagai manusia yang mempunyai potensi untuk dibangunkan. Pendekatan tersebut turut dapat dilihat melalui cara beliau mendidik hos LIVE. Beliau sering menekankan bahawa individu yang mahu berjaya perlu bersedia mendengar, belajar dan menerima bimbingan. Pada pandangannya, seseorang tidak boleh hanya bergantung kepada pendapat sendiri apabila baru memasuki industri. Mereka perlu memahami asas, mengetahui kekuatan sendiri dan belajar bagaimana untuk mengubah kekuatan tersebut menjadi sesuatu yang boleh diterima oleh penonton.

Dalam masa yang sama, Pakcik Chin Swee mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap dunia LIVE. Industri ini kadangkala menerima kritikan apabila pemberian gift kepada hos dilabel sebagai satu bentuk “mengemis”. Bagi beliau, persepsi itu perlu dilihat dengan lebih luas kerana masyarakat memang sudah lama membayar untuk hiburan yang mereka minati.

Perbezaannya ialah dalam TikTok LIVE, penonton boleh menonton secara percuma dan sekiranya mereka memilih untuk memberikan gift kepada seorang creator, ia dilakukan sebagai satu bentuk sokongan. Namun apa yang lebih penting bagi Pakcik Chin Swee ialah memastikan hos yang berada di bawah bimbingannya mampu memberikan hiburan yang berkualiti. Gift bukan satu-satunya perkara yang perlu dikejar. Mereka perlu mempunyai kandungan, personaliti, disiplin dan keupayaan untuk membina hubungan dengan komuniti penonton.

Daripada situlah tiga perkara yang sering ditekankan Pakcik Chin Swee kepada anak-anak KamiSempoi menjadi penting, iaitu disiplin, konsistensi dan tidak mudah berputus asa. Pada pandangannya, tiga perkara tersebut bukan formula yang hanya sesuai untuk TikTok, tetapi prinsip yang boleh digunakan dalam kehidupan. Seseorang boleh mempunyai bakat yang luar biasa, tetapi tanpa disiplin bakat tersebut mungkin tidak berkembang. Seseorang boleh mempunyai idea yang hebat, tetapi tanpa konsistensi idea itu tidak akan menghasilkan apa-apa. Dan seseorang mungkin sudah melakukan semuanya dengan betul, tetapi jika terlalu cepat berputus asa, mereka mungkin berhenti hanya beberapa langkah sebelum peluang datang.

Prinsip tersebut juga menjadi antara sebab mengapa KamiSempoi terus bergerak walaupun industri berubah. Selepas lebih lima tahun, fokus Pakcik Chin Swee kini semakin jelas, iaitu membangunkan lebih ramai individu yang benar-benar profesional dalam bidang LIVE dan kandungan digital. Perkembangan tersebut membawa kepada usaha membangunkan KamiSempoi Premium Academy, sebuah platform pembelajaran yang dirancang untuk memberikan bimbingan lebih tersusun kepada mereka yang mahu serius dalam industri ini.

Dengan tempoh pembelajaran sehingga 12 bulan dan pengambilan yang lebih terhad, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa fokus KamiSempoi bukan sekadar mahu mempunyai jumlah creator yang ramai, tetapi mahu melahirkan individu yang benar-benar mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk berdiri sendiri.

Dalam perjalanan itu, karakter Pakcik Chin Swee sendiri turut menjadi sebahagian daripada identiti yang dikenali masyarakat. Beliau sudah aktif di TikTok sebelum kandungan latah menjadi begitu sinonim dengan dirinya. Beberapa rakaman reaksi spontannya kemudiannya dimuat naik dalam bentuk VTT dan mendapat perhatian pengguna sehingga sisi tersebut menjadi antara kandungan yang dikenali ramai. Ada yang terhibur dan ada juga yang mengkritik, tetapi beliau terus melakukan LIVE sambil menjalankan tanggungjawab sebagai founder.

Ia secara tidak langsung menunjukkan satu lagi perkara yang menjadi asas kepada KamiSempoi sejak awal, iaitu tidak perlu terlalu takut untuk menjadi diri sendiri. Kadangkala sesuatu yang kita anggap kecil atau biasa pada diri sendiri boleh menjadi perkara yang membuatkan orang lain tertarik untuk mengenali kita.

Jika dilihat secara keseluruhan, kejayaan KamiSempoi bukanlah hasil daripada satu keputusan besar yang dibuat dalam satu malam. Ia terbentuk daripada banyak keputusan kecil yang dibuat berulang kali sejak 2021. Bermula daripada keberanian Pakcik Chin Swee mencuba TikTok ketika platform tersebut belum dianggap serius, kemudian kejayaannya sebagai LIVE streamer, keputusan untuk berkongsi peluang dengan orang lain, pembentukan sebuah komuniti, pencapaian sebagai antara agensi teratas di Asia Tenggara, sehinggalah keberanian untuk terus bertahan ketika keadaan menjadi sukar. Setiap fasa meninggalkan pelajaran tersendiri dan semua pengalaman itu akhirnya membentuk KamiSempoi seperti yang dikenali hari ini.

Klik pada gambar Pakcik Chin Swee

Mungkin sebab itu apabila bercakap mengenai kejayaan, Pakcik Chin Swee tidak melihatnya hanya melalui angka. Angka boleh berubah mengikut bulan, ranking boleh berubah mengikut musim dan polisi platform boleh berubah dari semasa ke semasa. Tetapi manusia yang pernah dibangunkan akan membawa pengalaman itu lebih jauh.

Seseorang yang pernah belajar bagaimana melakukan LIVE mungkin suatu hari nanti membuka perniagaan sendiri. Seorang creator yang pernah dibimbing mungkin akhirnya menjadi mentor kepada orang lain. Dan seseorang yang pada awalnya tidak yakin untuk bercakap di hadapan kamera mungkin suatu hari nanti mampu berdiri di atas pentas sebagai seorang profesional.

Di situlah letaknya makna yang lebih dalam di sebalik kejayaan KamiSempoi. Ia bukan hanya tentang bagaimana Pakcik Chin Swee berjaya membina sebuah agensi daripada pengalamannya sebagai LIVE streamer, tetapi bagaimana pengalaman tersebut diterjemahkan menjadi sebuah ruang yang memberi peluang kepada orang lain. Dalam dunia digital yang bergerak pantas, mungkin nama dan angka akan sentiasa berubah, tetapi usaha untuk membangunkan manusia akan meninggalkan kesan yang lebih panjang.

Hari ini, selepas melalui pelbagai cabaran, KamiSempoi masih meneruskan perjalanan. Pakcik Chin Swee yang pernah terfikir untuk menjual syarikatnya kini kembali melihat masa depan dengan matlamat yang lebih besar. Beliau mahu melihat lebih ramai hos LIVE profesional dilahirkan, lebih ramai creator membina personal branding dan lebih ramai individu menggunakan TikTok sebagai ruang untuk mengubah kehidupan mereka.

Lima tahun lebih perjalanan itu mungkin telah mengajarnya bahawa membina sebuah syarikat bukan sekadar tentang bagaimana untuk bermula, tetapi bagaimana untuk terus bertahan apabila segala-galanya mula menguji kekuatan.

Dan mungkin itulah cerita sebenar kejayaan KamiSempoi. Ia bukan kisah sebuah agensi yang sentiasa berada di atas tanpa pernah jatuh, tetapi kisah sebuah organisasi yang belajar untuk bangun setiap kali berdepan perubahan. Dari sebuah telefon di tangan seorang content creator pada tahun 2021, lahir sebuah komuniti yang kini membawa ribuan manusia dalam perjalanan masing-masing. Pakcik Chin Swee mungkin bermula dengan impian untuk mencapai sesuatu yang besar dalam hidupnya, tetapi sepanjang perjalanan, impian itu berubah menjadi sesuatu yang lebih bermakna membina tempat di mana orang lain juga mempunyai peluang untuk menjadi seseorang.

Kerana akhirnya, kejayaan seorang founder bukan hanya diukur melalui apa yang berjaya dibina untuk dirinya sendiri. Ia juga boleh diukur melalui berapa ramai manusia yang menjadi lebih berani selepas bertemu dengannya, berapa ramai yang menemukan arah selepas menerima bimbingannya dan berapa ramai yang mampu berdiri sendiri setelah suatu ketika dahulu hanya datang membawa harapan. Dalam perjalanan KamiSempoi, mungkin itulah pencapaian yang paling besar sebuah kejayaan yang tidak berhenti pada nama Pakcik Chin Swee, tetapi terus hidup melalui manusia yang pernah dibangunkannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat