ATM batal beli Black Hawk, junjung titah Agong tidak mahu ulangi kes ‘keranda terbang’

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membatalkan pembelian empat buah helikopter Black Hawk dengan nilai kontrak kira-kira RM187 juta.

Panglima Angkatan Tente­r Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum titah Yang di-Pertuan A­gong berkaitan pembelian aset tersebut.

“ATM sentiasa menjunjung dan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan pembelian helikopter Black Hawk lama yang keba­nyakannya telah berusia lebih 30 tahun.

“Kita tidak akan mengusulkan (helikopter) Black Hawk pun dan telah mengambil maklum hasrat Tuanku. Tender (pem­belian helikopter) sudah pun keluar,” katanya memetik laporan Utusan pada Selasa.

Kelmarin, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.

Seri Paduka sebagai pemerintah tertinggi ATM turut mengingatkan kementerian tersebut supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya (cadangan) ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang menjadi jurujual malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone,” titah Baginda.

November tahun lalu, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan notis pembatalan kepada syarikat yang memenangi kontrak sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Keputusan tersebut dibuat selepas syarikat pembekal itu gagal mematuhi tarikh akhir penyerahan helikopter selepas dilanjutkan sehingga 30 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan kontrak baharu bagi mendapatkan helikopter utiliti untuk PUTD dengan sewaan selama lima tahun dengan nilai RM187 juta.

Berdasarkan laman Eperolehan Kementerian Pertahanan, kontrak diterbitkan awal Ogos itu akan ditutup pada 26 September ini. Helikopter UH-60 Black Hawk antara yang disebut-sebut mengisi syarat kontrak tersebut.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk itu amat bertepatan.

Katanya, ia susulan Malaysia sudah berpengalaman dengan pembelian pesawat Skyhawk yang hanya beroperasi kurang daripada enam tahun dan merupakan satu tragedi dalam pembangunan ATM melalui program PERISTA sebelum ini.

“Dalam konteks ini, dengan peruntukan yang terhad, Malaysia memiliki peluang untuk mendapatkan helikopter daripada Russia, Eropah Timur, Brazil, China atau Turki yang memiliki harga lebih rendah dan berkualiti.

“Malah, Malaysia juga boleh menawarkan pembelian pesawat dengan timbal balik melalui eksport minyak sawit yang pernah digunakan ketika pembelian pesawat dari Russia sebelum ini,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pertahanan dan ATM untuk meneroka kerjasama dengan China bagi mendapatkan aset pertahanan seperti helikopter memandangkan negara itu menunjukkan kemajuan teknologi memberangsangkan dalam sektor keselamatan dan pertahanan.

“Kehebatan mereka dalam teknologi ketenteraan dan keselamatan telah lama dipamerkan namun ia dilabelkan sebagai teknologi kelas ketiga oleh Barat yang sekali gus mempengaruhi perspektif ASEAN terhadap produk dari China.

“Bagaimanapun, selepas Perang India-Pakistan ia telah membuka mata seluruh dunia terhadap kemampuan pesawat China yang digunakan oleh Pakistan sehingga berjaya memusnahkan pelbagai jet tempur dari Perancis dan Russia dengan mudah.

“Ia sepatutnya mengubah dimensi kerajaan untuk beralih kepada produk China yang sebenarnya memiliki teknologi dan kualiti setanding kuasa besar lain dari segi harga kerana lebih rendah,” katanya.

Malah, beliau berkata, hubungan baik antara Malaysia dan China sepatutnya dijadikan sebagai landasan dalam memperkukuhkan sistem pertahanan negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat