KUALA LUMPUR, – Mahkamah Rayuan Paris telah menamatkan prosiding perbicaraan merit berkaitan pembatalan Final Award berjumlah AS\$14.9 bilion dalam kes yang difailkan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah lama tidak wujud.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini, prosiding tersebut yang berlangsung pada 7 Julai 2025 merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang Perancis yang sedang berjalan bagi menentukan keabsahan Final Award tersebut.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Paris telah menggantung prosiding pembatalan sementara menunggu keputusan Mahkamah Kasasi Perancis pada 6 November 2024, yang akhirnya menyokong keputusan untuk menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ yang menyatakan arbitrator tunggal memiliki bidang kuasa.
Dalam prosiding 7 Julai, pihak yang menuntut dikatakan cuba mendapatkan penangguhan bagi membolehkan mereka menjawab pendapat bertulis Pendakwa Raya Perancis.
Namun, permohonan itu ditolak dan prosiding diteruskan seperti dijadualkan.
Mahkamah telah menetapkan tarikh 9 Disember 2025 untuk mengumumkan keputusannya.
“Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap proses dan keputusan Mahkamah Rayuan Paris dalam usaha menamatkan tuntutan global yang tidak sah oleh pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, sebagaimana pendirian yang turut diambil oleh mahkamah-mahkamah di Sepanyol dan Belanda,” kata Azalina.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperjuangkan mekanisme litigasi global yang telus, khususnya dalam pembiayaan pihak ketiga dalam kes timbang tara, agar ia tidak disalahgunakan sebagai senjata undang-undang terhadap negara berdaulat.
“Malaysia akan terus mempertahankan integriti timbang tara antarabangsa daripada percubaan menjadikannya alat pemerasan ke atas negara-negara berdaulat atas nama tuntutan undang-undang.”
Tambahnya lagi, Kerajaan Malaysia kekal komited dalam mempertahankan hak kedaulatan, imuniti negara, dan kepentingan nasional daripada sebarang cabaran yang tidak sah.-SuaraTV



