Anwar akui Kerajaan Madani tidak sempurna, jentera parti digesa lawan fitnah dengan fakta

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Kerajaan Madani yang diterajuinya tidak sempurna namun banyak perubahan positif telah dilaksana
antaranya kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC, bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi.

Justeru Presiden PKR itu menyeru jentera parti perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar ini, kerana apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar.

“Petang tadi saya hadir bertemu pimpinan PKR Selangor di Shah Alam. Saya melihat semangat dan kekuatan akar umbi parti terus utuh. Namun kita tidak boleh alpa kerana kuasa, jika tidak dijaga, mudah menjadi kilauan yang memukau dan merabunkan.

“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa isu semasa, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang diganggu dengan tuduhan dan fitnah kononnya kita mahu merosakkan institusi kehakiman.

“Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan tersebut.

“Kita mesti berani mempertahan prinsip ketelusan dan semak imbang. Mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa pertanggungjawaban. Di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap punyai ruang menyuarakan pandangan. Yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik,” gesa Anwar.

Menurut beliau, anggota parti tidak harus terperangkap dalam naratif lawan yang cuba mencipta persepsi kononnya wujud krisis atau konspirasi.

“Saya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, saya tidak boleh menyatakannya secara terbuka sebelum ini kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tegaskan amanah ini akan saya galas dengan penuh prinsip dan kekuatan. Kita tidak sempurna, tetapi banyak yang telah kita laksanakan antaranya kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC, bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi. Jentera parti perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar ini, kerana apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar.

“Menyentuh situasi parti pasca pemilihan, saya tegaskan PKR mesti terus maju ke hadapan. Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan. Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok.

“Kita harus perkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan musuh yang punyai dana, pengaruh dan rangkaian luas. Tetapi kita punya kekuatan sebenar: rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara. Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat