SHAH ALAM, 19 Mei 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur komunikasi di negeri ini.
Pelaksanaan kempen yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor ini adalah susulan daripada peningkatan ketara kes vandalisme dan kecurian kabel telekomunikasi di Negeri Selangor yang semakin membimbangkan.
Berdasarkan data semasa, Selangor kekal mencatatkan bilangan kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi tertinggi di Malaysia iaitu 1,836 kes pada tahun 2024 dan 1,273 kes pada tahun 2025. Pada masa sama, Wilayah Tengah yang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur turut merekodkan jumlah kes tertinggi di peringkat nasional bagi tahun 2025.
Aktiviti vandalisme seperti kecurian kabel, kerosakan pencawang dan pemotongan rangkaian komunikasi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada industri, malah memberi kesan langsung kepada rakyat melalui gangguan capaian Internet,komunikasi harian, operasi perniagaan, pembelajaran digital serta perkhidmatan kecemasan.
Sejak kebelakangan ini, beberapa rakaman video tular di media sosial turut memaparkan kegiatan kecurian kabel yang dilakukan secara terbuka, termasuk pada waktu siang dan di kawasan awam.
Perkembangan ini menunjukkan keperluan tindakan yang lebih tegas dan menyeluruh bagi menangani isu tersebut.
Antara inisiatif utama yang diperkenalkan menerusi kempen ini termasuk:
1. Penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi yang melibatkan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pemain industri bagi memperkukuh penyelarasan maklumat, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan;
2. Pelaksanaan sesi literasi dan kesedaran awam bersama agensi penguat kuasa dan pemain industri mengenai impak vandalisme terhadap keselamatan, ekonomi dan kesinambungan perkhidmatan komunikasi negara;
3. Program kesedaran bersasar di kawasan berisiko tinggi (hotspots) seperti Rawang, Gombak dan Bangi, yang akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun 2026 dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan komuniti setempat.
Kempen ini turut menekankan bahawa usaha melindungi infrastruktur telekomunikasi bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak industri semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Peranan penduduk setempat, guru, ibu bapa, golongan belia, ketua kampung serta pemimpin komuniti amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran.
Masyarakat juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa keselamatan infrastruktur telekomunikasi merupakan elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan digital Negeri Selangor terus berkembang secara stabil, selamat dan mampan.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak industri dan masyarakat agar memainkan peranan bersama dalam melindungi infrastruktur komunikasi yang menjadi tunjang kepada kehidupan moden dan pertumbuhan ekonomi digital negeri.
MCMC kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pemegang taruh dalam usaha mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan telekomunikasi serta memastikan kesejahteraan digital rakyat terus terpelihara.
Turut hadir adalah kepimpinan tertinggi MCMC, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan, penggiat industri telekomunikasi serta wakil komuniti setempat.



