RM150,000 Diperlukan Tampung Kos Rawatan Irsyad Iskandar Pesakit Lymphoma Tahap 4

- Advertisement -

KUCHING – Yayasan Bank Rakyat (YBR) membantu meringankan beban yang ditanggung Irsyad Iskandar Sukiman, 20 dengan memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi menampung kos rawatan penyakit yang dihidapi.

Ketua Bahagian Operasi, Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani telah hadir dan menyampaikan sumbangan ini mewakili YBR di kediaman Irsyad Iskandar di Lorong Bunga Akasia 3, Kuching, Sarawak. Irsyad yang juga bekas atlet sukan badminton Sarawak turut bersama kedua-dua ibubapanya dalam pertemuan ini, walaupun keadaan diri Irsyad yang masih baru selesai menjalani kemoterapi.

Menurut Syaiful Rizal lagi, YBR terpanggil untuk membantu Irsyad Iskandar selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Mastuyah Abdul Wahab yang diterima pada 13 Mei yang lalu. Prihatin dengan nasib Irsyad Iskandar yang menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma tahap 4 sejak September lalu, diharapkan sumbangan yang diberikan ini dapat membantu kos rawatan penyakit yang sedang dihadapi. Jumlah kos perubatan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM150,000.

“Dengan pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang kini ditanggung oleh keluarga Irsyad Iskandar serta dapat menampung perbelanjaan kos rawatan bagi menjalani Aggressive Chemotherapy selama 3 putaran,” katanya.

Mastuyah turut memaklumkan bahawa anak bongsunya dari lima beradik ini telah menjalani 12 sesi kemoterapi tetapi ia masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam melawan sel kanser.

Menurut Mastuyah lagi, Irsyad Iskandar yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, aktif bermain badminton sejak berumur sembilan tahun serta telah menyertai pelbagai pertandingan mewakili Sarawak dalam pelbagai kejohanan badminton.

Disebabkan penyakit yang dihidapi ini, Irsyad akhirnya berhenti bermain badminton pada tahun lepas walaupun telah memasang impian untuk menyertai Akademi Badminton Malaysia namun tidak kesampaian.

Namun, Irsyad langsung tidak patah semangat untuk melakukan comeback pada suatu hari nanti jika penyakit yang dihidapi sembuh demi ingin meneruskan minat dalam sukan badminton sehingga ke peringkat antarabangsa.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Pada tahun 2022, YBR memperuntukan sebanyak hampir RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Irsyad Iskandar boleh menghubungi Mastuyah Abdul Wahab di talian 012-6161795 atau menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank No. Akaun : 16121700041570 atas nama Mastuyah Abdul Wahab.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat