Mat Sabu arah Kawalselia Padi dan Beras Temerloh siasat timbunan beras dibuang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh segera menyiasat insiden timbunan beras yang dibuang di tapak buangan sampah di Kuala Krau, Pahang.

Setelah siasatan itu dijalankan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Saya telah mengarahkan siasatan segera dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh, Pahang berkaitan insiden timbunan beras yang dipercayai dibuang di sebuah kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau, Pahang.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dengan kadar yang segera,” tegas Mohamad dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sejak lewat petang semalam, tular di media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum di Temerloh.

Difahamkan, gambar itu mula menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan juga Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Suasana itu menyebabkan ramai memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara itu terjadi termasuk antara punca kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sekarang.

Menyedari kejadian itu menjadi tular, lebih buruk lagi ada pihak mengambil tindakan membakar barangan tersebut.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan membazir itu.

Namun, berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, beras dan berapa makanan lain itu dibuang kerana sudah luput tarikh dan rosak setelah disimpan terlalu lama.

Seorang pengguna media sosial mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh seorang ahli politik yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dakwanya, semua barang makanan itu sepatutnya diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Temerloh dan Maran pada Januari lalu.

Namun, sehingga kini belum ada pihak tampil mengaku dan menafikan dakwaan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat